Intipati Penghakiman Kes Liwat 2 Anwar Ibrahim

BERIKUT ialah beberapa intipati penghakiman Mahkamah Persekutuan dalam mengekalkan sabitan dan hukuman penjara lima tahun  terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi pertuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

image

Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria mengetuai panel lima hakim iaitu Tan Sri Raus Sharif, Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali.

Butir terpeinci penghakiman kes liwat Anwar Ibrahim di Mahkamah Persekutuan:

* Mahkamah Persekutuan yakin melampaui keraguan munasabah bahawa Mohd Saiful telah diliwat oleh Anwar seperti dituduh.

* Panel hakim Mahkamah Persekutuan bersetuju dengan Mahkamah Rayuan bahawa Anwar tidak menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pihak pendakwaan, dan dengan itu pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kesnya melampaui keraguan munasabah.

* Bukti saintifik (perubatan dan DNA) yang dikemukakan pihak pendakwaan jelas menunjukkan sel sperma milik Anwar ditemui dalam bahagian bawah dan atas rektum Mohd Saiful.

* Mahkamah Persekutuan berkata satu-satunya penjelasan yang logik bagi keadaan itu adalah Mohd Saiful semestinya telah diliwat oleh Anwar.

* Mahkamah Persekutuan memutuskan pembelaan berhubung konspirasi politik kekal sebagai dakwaan semata-mata yang tidak disokong oleh sebarang keterangan berwibawa.

* Mahkamah Persekutuan mendapati Mohd Saiful adalah seorang saksi yang berwibawa.

* Panel hakim mendapati Mohd Saiful bukan peserta sukarela dalam kesalahan liwat itu, malah merupakan seorang mangsa.

* Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan berpendapat hakim perbicaraan (mahkamah tinggi) terkhilaf dalam memutuskan ‘kepastian 100 peratus’ mengenai bukti bahawa kemungkinan sampel DNA yang diambil daripada Mohd Saiful telah tercemar.

* Standard bukti yang betul menyatakan bukti melampaui keraguan munasabah tidak perlu mencapai tahap kepastian sebaliknya membawa tahap kebarangkalian yang lebih tinggi.

* Mahkamah Persekutuan mendapati agak mustahil kebarangkalian sampel yang diambil daripada Mohd Saiful sudah tercemar.