PAS Adakan Mesyuarat Khas Bincang Calon Ketua Pembangkang

KUALA NERUS, 11 Feb – PAS akan mengadakan satu mesyuarat khas di kalangan anggota parti bagi memutuskan calon yang layak menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ketua pembangkang sebelum membawa usul itu kepada majlis mesyuarat pimpinan pakatan pembangkang.

image

Setiausaha Politik kepada Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata notis untuk mengadakan mesyuarat khas itu akan dikeluarkan sebelum mesyuarat itu diadakan dalam masa tiga atau empat hari lagi.

“Saya jangka antara agenda yang mungkin dibincangkan adalah mengenai siapa akan menjadi ketua pembangkang dan juga bagaimana kita hendak memperkukuhkan pakatan rakyat bagi meneruskan agenda perjuangan,” katanya selepas majlis Makan Malam Amal Media bersama Datuk Seri Abdul Hadi Awang di sebuah restoran di Tok Jembal di sini Selasa malam.

Bagaimanapun, Abdul Hadi yang turut hadir di majlis itu enggan menemui wakil media.

Anwar hilang kelayakan sebagai anggota Parlimen Permatang Pauh setelah Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun setelah menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman penjara itu atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan tujuh tahun lalu.

Sementara itu, Ahmad Samsuri mengakui pihaknya ada menerima memorandum berhubung dakwaan wujud komplot menjatuhkan Abdul Hadi yang diedarkan Ketua Pemuda PAS Kuantan, Noorzazilafadli Ibrahim, Isnin lepas.

Katanya memorandum itu akan teliti bagi melihat sama ada mempunyai asas atau tidak kerana yang penting PAS mahu memperkukuhkan kepimpinan parti.