PNS Sediakan RM70 Juta Untuk Pembiayaan Usahawan Francais

KUALA LUMPUR, 11 Feb – Perbadanan Nasional Berhad (PNS) menyasar membantu membangunkan 320 usahawan francais tahun ini berbanding 295 tahun lalu.

imagePengarah Urusan, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodki Shahabudin, berkata perniagaan francais kini semakin mendapat sambutan terutama daripada golongan muda.

Untuk mencapai sasaran itu, PNS akan turut mempromosikan bidang perniagaan francais baharu dan berpotensi selain bidang popular yang berkaitan makanan dan minuman (F&B).

“Kita juga akan bekerjasama dengan pihak tertentu seperti Pesatuan Hal Ehwal Bekas Aangkatan Tentera (PERHEBAT) bagi menawarkan peluang perniagaan francais kepada bekas anggota tentera,” katanya pada satu program diskusi di sini hari ini.

Mengenai aspek pembiayaan dan pengembangan perniagaan francais tahun ini, PNS memperuntukkan antara RM60 juta hingga RM70 juta.

Walaupun PNS menyediakan peluang pembiayaan, ia tidak akan membabitkan pembiayaan 100 peratus kepada usahawan kerana matlamat utama adalah mendidik usahawan supaya lebih bertanggungjawab kepada perniagaan masing-masing.

“Ia juga antara langkah untuk mengawal tahap pembiayaan tidak berbayar (NPL). Tahun lalu, PNS mencatat 19 peratus NPL dan angka itu sentiasa menunjukkan penurunan setiap tahun menerusi pengawalan berterusan margin pembiayaan,” katanya.