Tak Pelik Jika Nuha Calon Permatang Pauh – Tun Mahathir

KUALA LUMPUR, 12 Feb – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir tidak berasa pelik sekiranya Nurul Nuha, anak kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding kerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh nanti.

image

Malah, beliau berkata, sebagai parti keluarga, tentunya Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mengisi kekosongan kerusi Anwar itu dengan ahli keluarganya.

“Sudah semestinya ia (PKR) sebagai parti keluarga, perlu digantikan oleh ahli keluargalah,” katanya dalam nada sinis ketika ditemui pemberita selepas forum Dilema Malaysia di sini, Khamis.

Sejak Anwar dihukum kembali ke penjara atas kes liwatnya yang kedua, timbul khabar angin mengatakan Nuha bakal diletakkan sebagai calon PKR di kerusi Permatang Pauh.

Dalam pada itu mengulas mengenai tindakan Amerika Syarikat (AS) yang mengkritik keputusan institusi kehakiman negara berhubung kes Anwar, Dr Mahathir mengecam campur tangan kuasa besar itu.

“Sebab Anwar Ibrahim (adalah) calon Amerika untuk rejim perubahan di Malaysia… jadi mereka kecewa. Mereka juga penjarakan seseorang tanpa bicara, jadi tiada sebab untuk mereka kritik kita…mereka patut kritik diri sendiri,” katanya.

Beliau berkata, walaupun White House berhak menghantar petisyen, Malaysia juga perlu mengambil tindakan sama memohon AS supaya tidak campur tangan dalam isu tersebut.

“Itu hak mereka untuk buat petisyen tapi kita patut buat petisyen supaya Amerika tak usah kacau…negara mereka pun tak boleh tadbir dengan baik,” katanya lagi.

Advertisements