BN Tak Perlu Letak Calon Tanding DUN Chempaka – Mustapa Mohamed

KOTA BHARU, 14 Feb – Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed menyifatkan melalui pandangan peribadinya, BN tidak perlu meletakkan calon bagi mengisi kekosongan kerusi Dun Chempaka selepas kematian penyandangnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

image

Mustapa berkata, sebagai pimpinan negeri, beliau mahu lebih fokus terhadap bantuan pacsa banjir terhadap mangsa-mangsa yang kehilangan kediaman dan harta benda dalam banjir Disember lalu.

“Buat masa ini saya, belum membuat perbincangan dengan Umno Bahagian Pengkalan Chepa namun segala keputusan akan ditentukan selepas perjumpaan nanti.

“Lagipun masih terlalu awal dan tidak sesuai untuk kita bincangkan hal ini memandangkan Nik Aziz baru sahaja meninggal dunia kelmarin.

“Jika ada pilihan raya kecil, banyak yang perlu kita fokus termasuk soal keselamatan dan mungkin akan berlaku pergeseran antara pimpinan parti. Jadi kini, kita harus fokus pada perpaduan dan bukannya perbalahan antara satu sama lain,” katanya pada sidang media di Hotel Sutera Inn, di sini, pagi tadi.

Pada PRU13 lalu, Allahyarham Nik Aziz mempertahankan kerusi Dun Chempaka menewaskan calon BN.