Kereta Hatta Ramli Cuba Dibakar

PETALING JAYA, 14 Feb – Cubaan individu yang tidak dikenali untuk membakar kereta milik Dr Mohd Hatta Ramli tidak kesampaian apabila tindakan itu disedari oleh seorang pengawal di kawasan perumahan Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Pusat tersebut di Hulu Kelang, Kuala Lumpur awal pagi Sabtu.

image

Kejadian berlaku di luar rumah pemimpin terbabit pada pukul 5.30 pagi apabila seorang lelaki cuba untuk membakar kereta Hatta.

Bagaimanapun, tindakan itu disedari oleh seorang pengawal bertugas yang ketika itu sedang membuat rondaan di kawasan tersebut dengan membunyikan hon motosikal.

Difahamkan, anak Mohd Hatta dikatakan berjaya memadamkan api sebelum polis dan bomba tiba di tempat kejadian.

Mohd Hatta sebelum ini didakwa merupakan antara pemimpin PAS yang berkomplot untuk menggulingkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Dakwaan itu dibuat oleh sekumpulan penyokong yang diketuai oleh Ketua Pemuda PAS Kuantan, Fadhli Ibrahim.

Bagaimanapun, Mohd Hatta berkata, tuduhan Fadhli adalah tidak berasas dan beliau tidak berminat untuk memperbesarkannya kerana perkara sedemikian dianggap lumrah dalam parti.

Advertisements