Malaysia Cadang Kecualikan Bayaran Visa Kepada Pelancong India

MUMBAI, 14 Feb – Malaysia bercadang untuk tidak mengenakan bayaran visa terhadap rakyat India yang berbelanja besar sebagai strategi mencapai 29.4 juta ketibaan pelancong asing pada tahun ini.

image

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata Malaysia memerlukan ketibaan dua juta pelancong lagi untuk mencapai  rekod baharu itu.

Katanya rakyat India menjadikan Malaysia satu daripada destinasi pilihan utama mereka di ASEAN, dengan mencatat 643,335 ketibaan pelancong dalam tempoh 10 bulan pertama (Januari-Oktober) tahun lepas iaitu pertumbuhan sebanyak 20.7 peratus.

Antara Januari dan September tahun lepas, kira-kira 1.4 juta rakyat India melawat Malaysia dan berbelanja hampir RM1.8 bilion berbanding RM1.3 bilion dalam tempoh sama pada 2013.

India adalah sumber pelancong kelima terbesar bagi Malaysia.

Mohamed Nazri berkata setiap pelancong India kini perlu membayar RM350 hingga RM400 untuk visa dan bayaran berkaitan lain.

Beliau berkata secara purata, setiap pelancong India tinggal selama 6.6 hari di Malaysia dan berbelanja kira-kira RM2,900 sepanjang kunjungan mereka.

“Pelancong India berbelanja besar, terutama untuk membeli-belah, sama seperti pelancong China.

“Kami di kementerian amat gembira sekiranya layanan baik itu turut diberi kepada tetamu kita dari India juga,” kata Mohamed Nazri kepada Bernama sebelum melancarkan kempen promosi Myfest 2015 di Mumbai, ibu kota kewangan India di sini, pada Jumaat.

Rakyat beberapa negara termasuk China, Korea Selatan dan Jepun telah menikmati kemudahan visa seumpama itu.

Mohamed Nazri berkata kedatangan pelancong India ke Malaysia mempunyai potensi besar untuk terus meningkat berikutan rancangan empat syarikat penerbangan utama untuk menambah penerbangan terus mingguan masing-masing ke Malaysia.

Ketika ini, terdapat 156 penerbangan mingguan, yang menghubungkan Malaysia dan bandar raya utama India dengan tempat duduk yang ditawarkan berjumlah hampir 30,000.

Menurut Mohamed Nazri, ketibaan pelancong antarabangsa ke Malaysia pada tahun lepas berjumlah 27.4 juta dan kementerian itu sedang aktif mengadakan kempen, bukan sahaja di India, tetapi juga di benua kecil India lain untuk mempromosi Malaysia.

“Kami perlu menarik sekurang-kurangnya dua juta lagi pelancong ke Malaysia untuk mencapai sasaran tahun ini dengan anggaran hasil sebanyak RM80 bilion jika kami tidak mahu kalah kepada negara ASEAN lain, yang telah melaksanakan pengecualian itu (pengecualian bayaran visa),” katanya.

Beliau berkata rakyat India yang ingin tinggal lebih lama di Malaysia boleh memilih Program Rumah Kedua Malaysia, yang akan membolehkan mereka tinggal hingga 10 tahun, tanpa memerlukan visa.

Di Mumbai, MyFest 2015 dilancarkan dengan penuh meriah, termasuk melalui persembahan tarian “flash mob’ oleh kira-kira 100 belia yang dipadankan daripada tema lagu popular Tourism Malaysia dan Celebrating 1Malaysia.

Persembahan itu menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas seketika berhampiran hotel ikonik, Taj Mahal Hotel, tidak jauh dari Gate of India Monument, yang merupakan antara mercu tanda terkenal India.

Mohamed Nazri yang tertarik dengan tarian itu, turut menyertainya.

Advertisements