Hudud Amanat Terakhir Ayah – Nik Abduh

KOTA BHARU, 15 Feb – “Ayah nak walaupun dia tutup mata, hudud kena buat juga di Kelantan,” kata Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz, anak kepada bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

image

…itulah amanat terakhir yang disampaikan oleh Allahyarham kepadanya sebelum beliau meninggal dunia Khamis lalu.

Menurutnya, pesanan tersebut sering kali disebut sehinggalah bekas Menteri Besar Kelantan itu tidak mampu lagi bercakap seperti biasa sejak dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), 19 Januari lalu.

“Semasa di rumah, (pelaksanaan hudud) itulah pesanannya setiap masa, sehinggalah masuk hospital, tapi di hospital arwah tidak cakap banyak kerana selalu keletihan. Dia sebut perkara-perkara mudah sahaja,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Menurutnya, Allahyarham kerap menyebut pelaksanaan hudud itu kerana ayahandanya adalah pencetus idea pelaksanaan hukum tersebut di Kelantan, walaupun tidak lagi memegang jawatan menteri besar.

Beliau berkata, Allahyarham memang begitu bersungguh-sungguh mahu hudud dilaksanakan di negeri itu.

Katanya, walaupun mendapat tentangan daripada pelbagai pihak, termasuk musuh politik, ayahandanya tetap memperjuangkannya sehingga termaktubnya hari hudud setiap tahun.

“Ayah terus cekal dan minta supaya benda (hudud) ini diteruskan dan diperjuangkan. Bahkan apabila saya bercerita kepadanya mengenai kritikan daripada beberapa ahli akademik agama yang berpendapat belum masanya lagi (pelaksanaan hudud) dibuat, ayah nampak begitu marah dan berkata “ini orang alim yang tidak boleh pakai ilmu dia”.

“Sehinggalah dia menghembuskan nafas terakhir, dia mahu benda ini dilaksanakan juga,” katanya.

Nik Abduh memberitahu, itulah amanat penting sering dipesan ayahanda selain arwah turut memberitahu, perjuangan menegakkan agama Islam itu perlu diteruskan anak-anak buahnya seluruh Malaysia, walau apa sekalipun halangan.

“Ayah sering berpesan pada saya memandangkan saya sentiasa memaklumkan tentang keadaan isu semasa kepadanya, sejak tidak menjadi menteri besar.

“Ayah jarang membaca akhbar lain selain Harakah dan Sinar Harian, maka apa yang tidak disiarkan dalam dua akhbar tersebut akan diberitahu oleh saya sendiri,” katanya.