Kumpulan Pelajar Demo Tuntut Anwar Ibrahim Dibebaskan

KUALA LUMPUR, 14 Feb – Sekumpulan anak muda mengadakan demonstrasi di ibu kota, mendesak agar Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan daripada penjara.

image

Protes tersebut diketuai oleh aktivis pelajar, Adam Adli Abd Halim dan Muhammad Safwan Anang yang mengadakan himpunan di luar pusat beli belah Sogo pada pukul 4 petang Sabtu.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Adam Adli turut menyampaikan ucapan kepada kumpulan tersebut.

Antara intipati ucapan mereka ialah kumpulan berkenaan akan berhimpun dan berarak pada setiap hari Sabtu.

“Minggu hadapan, kita akan membawa lebih ramai penyokong dan kita akan terus berjuang dan tidak akan berundur,” katanya.

Kumpulan berkenaan berarak dari Hentian Pudu Raya sambil menyatakan ikrar mereka akan terus menuntut agar Anwar dibebaskan.

Kumpulan tersebut akhirnya bersurai pada pukul 6.30 petang.