Baharom Embi Dilantik Sebagai Pengarah Urusan Dan Ketua Pegawai Eksekutif Baharu Tekun Nasional

KUALA LUMPUR, 16 Feb – Naib Presiden Kanan (Produk dan Perkhidmatan) Bank Rakyat, Baharom Embi dilantik sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun Nasional) baharu berkuatkuasa 1 Februari lalu.

image

Baharom berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Ekonomi dan Kewangan dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Sistem Sokongan Keputusan), kedua-duanya dari New Hampshire College, Manchester, Amerika Syarikat.

Sebelum diberi mandat memimpin Tekun Nasional, beliau telah berkhidmat di Bank Kerjasama Rakyat Malaysia dengan pengalaman selama 27 tahun.

Dalam tempoh tersebut, beliau telah menyandang pelbagai jawatan di beberapa bahagian antaranya  Bahagian Perbendaharaan, Penolong Pengurus Besar Perancangan Strategik, Penolong Pengurus Besar Operasi Cawangan dan jawatan terakhir beliau di bank tersebut adalah Naib Presiden Kanan (Produk dan Perkhidmatan).

Tekun Nasional yang dahulunya dikenali sebagai Yayasan Tekun Nasional adalah merupakan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang diwujudkan pada 9 November 1998.

Matlamat penubuhan Tekun Nasional adalah untuk menyediakan kemudahan pembiayaan secara mudah dan cepat kepada bumiputera untuk memulakan dan memajukan lagi perniagaan mereka.

Kini Tekun Nasional di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Advertisements