Janji Kekang Penyebaran Fahaman Syiah, Wahabi

MUAR, 17 Feb – Kerajaan negeri proaktif mengekang penyebaran fahaman yang menyimpang daripada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah bagi mengelakkan ancaman terhadap akidah, syariah dan akhlak umat Islam di negara ini.

image

Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Abd Mutalip Abd Rahim berkata, usaha tersebut dengan mengharamkan kemasukan atau sebarang aktiviti penceramah yang mempunyai pengaruh wahabi, syiah atau fahaman lain.

“Ancaman ini semakin membimbangkan dan Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (Jaij) akan ambil tindakan tegas menahan penceramah terlibat bagi mengelakkan pengaruh itu berleluasa.

“Setakat ini kita kesan lebih 500 kes membabitkan penceramah berstatus selebriti yang dilahirkan daripada program realiti dakwah,” katanya pada sidang media selepas program Pengimarahan Masjid dan Surau Parlimen Pagoh di Bangunan Seri Pekembar, di sini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa dan Industri Asas Tani negeri, Ismail Mohamed; Ketua Wanita Umno Bahagian Pagoh, Senator Datuk Noriah Mahat; Ketua Pemuda Umno Bahagian Pagoh, Zaid Abd Rahman dan Ketua Puteri Bahagian Pagoh, Rohaizah Ahmad.

Beliau berkata, pihaknya akan memantau penceramah luar yang cenderung ke arah itu dan isi kandungan ceramah mereka akan dirakam serta diteliti.

“Semua penceramah perlu mendapatkan tauliah untuk mengajar selain mempunyai kebenaran untuk menyampaikan ceramah daripada pihak Jaij.

“Tindakan tegas akan dikenakan terhadap penceramah yang didapati menyeleweng, manakala penganjur pula akan didenda,” katanya.

Katanya, penganjur menjemput penceramah berstatus selebriti adalah untuk menarik lebih ramai datang ke program keagamaan yang dianjurkan.