Tiada Peraturan Dilanggar, Tiada Internet Untuk Anwar – Jabatan Penjara

PETALING JAYA, 17 Feb – Pelbagai spekulasi dan laporan di media sosial mengenai Datuk Seri Anwar Ibrahim mendorong Jabatan Penjara membuat penjelasan bahawa layanan dan kemudahan yang diberikan kepadanya adalah mengikut Akta Penjara.

image

“Pertemuan keluarga adalah antara perkara utama yang diberi kepentingan oleh  Jabatan dalam proses pemulihan.

“Beberapa jenis pertemuan boleh diatur untuk tahanan seperti pertemuan peringkat awal, pertemuan berkala atau pertemuan khas,” kata Jabatan Penjara, dalam satu kenyataan, Isnin.

Menurut kenyataan tersebut, pertemuan peringkat awal akan diadakan pada hari kedua pemenjaraan atau mana-mana hari dalam tempoh empat minggu.

“Dalam kes Anwar, tiada peraturan yang dilanggar apabila keluarganya telah dibenarkan melawat beliau pada hari ketiga. Pertemuan awal ini diberikan kepada semua tahanan, ” kata kenyataan itu.

Pertemuan yang diatur selepas tempoh empat minggu telah ditetapkan dan dicatat dalam kad tahanan dan keluarga hanya boleh bertemu dengan mereka pada tarikh yang dinyatakan.

Jabatan juga menafikan bahawa Anwar telah diberi akses kepada komputer atau telefon dengan perkhidmatan internet seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

“Penggunaan komputer, internet atau telefon bimbit adalah dilarang di dalam penjara dan adalah mustahil untuk Anwar mempunyai akses terhadapnya,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu juga berkata bahawa mana-mana kemas kini di Facebook, Twitter atau lain-lain media sosial yang dibuat melalui akaun Anwar boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja yang mempunyai akses terhadap akaun tersebut tanpa memerlukan beliau sendiri berbuat demikian.

Jabatan ini juga berkata bahawa makanan yang dihidangkan untuk banduan itu adalah berdasarkan cadangan oleh Kementerian Kesihatan, dan mungkin berbeza-beza bergantung kepada keadaan kesihatan mereka.

“Keluarga boleh membawa makanan untuk banduan apabila mereka melawat mereka dan ini terpakai kepada semua tahanan,” kata kenyataan itu.

Jabatan itu juga berkata pihaknya telah mengikut semua kaedah-kaedah dan peraturan-peraturan pengendalian tahanan termasuklah Anwar.