UMNO Sokong Hudud Diteruskan Di Kelantan – Razali Ibrahim

MUAR, 17 Feb – Umno menyokong hasrat Pas meneruskan perjuangan melaksanakan hudud di Kelantan walau tunggak utama parti itu, bekas Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sudah meninggal dunia.

image

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Razali Ibrahim berkata, Umno menyokong pelaksanaan Enakmen Syariah dalam perundangan negeri itu yang akan memberi kebaikan kepada umat Islam.

“Perkara ini (hudud) sudah dibawa dalam minit mesyuarat majlis tertinggi dan saya rasa berbesar hati untuk sama-sama berpegang kepada keputusan tersebut kerana sudah menjadi tuntutan agama.

“Umno sudah pun membuat pendirian dalam mesyuarat (majlis tertinggi) baru-baru ini dan Umno tiada sebarang masalah untuk sokong (laksana hudud),” katanya ditemui selepas meninjau perkembangan pembinaan surau di Pasar Raya Astaka, semalam.

Tegasnya, tiada sebab pelaksanaan undang-undang Islam itu ditolak jika ia berjalan lancar dan memuaskan hati rakyat.