BN Perlu Ambil Peluang Untuk Kukuhkan Jentera

KEDUDUKAN pakatan pembangkang sebagai kuasa politik alternatif kepada Barisan Nasional semakin lemah berikutan kematian beberapa tokoh besar mereka dan hukuman penjara yang dijalankan ke atas Anwar Ibrahim selaku ketua pembangkang.

image

Samada telah ditakdirkan atau secara kebetulan, kehilangan nama-nama besar pembangkang secara jelas mempunyai impak terus kepada kekuatan pembangkang untuk menghadapi pilihan raya umum ke-14 nanti.

Bermula dengan kematian pengerusi kebangsaan Dap, Karpal Singh tahun lalu, pembangkang terus dirundung kematian pemimpinnya seperti ketua dewan ulama Pas, Haron Taib dan terbaru mursyidul am parti itu, Nik Aziz Nik Mat minggu lalu.

Paling kuat pukulan terhadap pembangkang apabila Anwar sebagai ketua umum PKR menjalani hukuman penjara lima tahun setelah mahkamah persekutuan mengekalkan keputusan bersalah oleh mahkamah rayuan sebelum itu.

Ramai berpendapat keadaan kucar kacir yang berlalu di kalangan Dap, Pas dan PKR akibat pemergian dan pemenjaraan pemimpin mereka adalah suatu yang baik dari segi politik bagi UMNO dan BN.

Mungkin juga ada kebenaran pandangan ini tetapi ini tidak bermakna pakatan pembangkan akan lumpuh dan lemah selamanya.

Ini kerana pembangkang mempunyai ramai anggota daripada lapisan pemimpin muda yang mantap dan agresif memperjuangkan agenda mereka.

Mereka tidak ketandusan pemimpin muda seperti Azmin Ali, Rafizi Ramli, Nik Nazmi Nik Ahmad, Shamsul Iskandar Mad Akin dari PKR, Tony Pua, Anthony Loke, Diana Sofia dari Dap dan juga pemimpin-pemimpin muda dari Pas.

Inilah yang patut diberi perhatian oleh UMNO dan BN kerana kebanyakan pemimpin ini adalah anggota parlimen atau dewan undangan negeri dan ramai daripada mereka adalah juga peguam yang lantang.

UMNO dan BN tidak boleh berdiam diri mengharapkan kepada kelemahan pihak lawan untuk menjana kekuatan.

Sebaliknya mereka harus terus bekerja keras serta meningkatkan usaha terutamanya dari segi pendaftaran pengundi daripada kalangan muda dan generasi Y.

Statistik menunjukkan parti paling berjaya dan agresif memdaftar pengundi baru adalah Dap diikuti oleh Umno.

Manakala parti-parti komponen BN agak mengecewakan dan boleh dikatakan gagal dalam kempen menarik pengundi muda untuk menyertai mereka berdasarkan kepada tinjauan yang dilakukan.

Oleh kerana itu dalam keadaan pakatan pembangkang terumbang ambing mencari pemimpin baru bagi memimpin mereka UMNO dan BN harus mengambil peluang keemasan ini untuk menggunakan masa yang ada sebaik mungkin.

Mereka perlu tingkatkan program dan kempen mendekati golongan belia dan memastikan mereka didaftarkan sebagai pengundi disamping menjadi anggota parti.

Program penghayatan perjuangan parti juga harus ditekankan kerana generasi sekrang sudah jauh daripada pengertian akan perjuangan kemerdekaan generasi terdahulu.

Jika generasi Y yang bakal menjadi kuasa penentu pada PRU14 nanti dengan jumlah pengundi melebihi 40 peratus tidak diberi perhatian sepenuhnya, dikhuatiri pembangkang yang akan mengawal pemikiran dan pola pemilihan di peti undi kelak.

Kematian Nik Aziz dan pemenjaraan Anwar mungkin satu petanda pakatan pembangkang tidak akan bertahan lama tetapi UMNO dan BN tidak boleh memandang perkara ini sambil lewa.

Pasukan tentera siber yang didalangi oleh Dap umpamanya sentiasa menunggu untuk menyerang kerajaan dan BN dengan bermacam-macam fitnah dan propaganda.

Unit media siber BN seharusnya menggunakan tempoh bertenang ini untuk membuat persediaan yang lebih mantap dan kuat bukan sahaja dari segi kelengkapan media tetapi juga sumber tenaga yang bakal menggunakan kuasa senjata pena untuk mempertahankan kerajaan dan BN.

Oleh itu janganlah berpeluk tubuh memerhatikan kepincangan pihak musuh walhal kita sendiri tidak berbuat apa-apa untuk menghadapi badai yang bakal mendatang.

Sediakan payung sebelum hujan kerana kelicikan pembangkang dan cara gerak kerja mereka kadangkala boleh mengejutkan kita.