Lompat Parti: “Dakwaan Keji Dan Berniat Jahat,” – Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 18 Feb – “Dakwaan keji dan berniat jahat,” demikan jawapan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bertanya benarkah beliau menawarkan RM100 juta kepada Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman sekiranya berjaya membawa bersama beberapa Ahli Parlimen BN untuk melompat parti.

image

Anwar, 67, yang memberi keterangan di kandang saksi dalam kes saman fitnahnya terhadap Anifah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkata, dakwaan itu langsung tidak benar dan hanya difikirkan kemudian, selepas sepuluh tahun.

Menjawab soalan Muhammad Shafee adakah beliau menggunakan Ishak sebagai agennya bagi merealisasikan impiannya untuk menubuhkan kerajaan pada tarikh 16 September 2008, Anwar berkata, dakwaan tersebut hanya bermotif politik.

Sementara itu, ketika ditanya adakah beliau mengenali Ishak dan rapat dengan ahli perniagaan itu, Anwar menjelaskan, beliau mengenali Ishak ketika memegang jawatan sebagai Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh sekitar tahun 1994 dan 1995.

“Beliau (Ishak) pada 1992 hingga 1998 pernah memegang beberapa jawatan dalam Umno termasuk Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian, Setaiusaha Umno Bahagian dan Bendahari Umno Bahagian Permatang Pauh,” katanya.

Hakim Siti Khadijah Hassan S Badjenid kemudian menetapkan 5 Jun depan untuk keputusan saman itu. Khadijah turut menetapkan 21 April depan untuk pihak plaintif dan defendan mengemukakan hujahan masing-masing.

Anwar hadir ke mahkamah selepas lapan hari berada di penjara Sungai Buloh bagi menjalani hukuman penjara lima tahun yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan kerana didapati bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Anwar yang berbaju biru cerah kelihatan ceria ketika masuk ke kamar mahkamah diiringi beberapa pegawai dari jabatan penjara. Anwar sempat bersalaman dan bertanya khabar dengan ahli keluarga sebelum prosiding kes bermula.

Pada 20 Januari lalu, Anifah berjaya dalam permohonannya untuk meminda pernyataan pembelaannya dalam kes samanβ€Ž itu.

Pindaan yang dibuat adalah berhubung penambahan isu penawaran wang berjumlah RM100 juta oleh Anwar melalui seorang individu yang dikatakan rapat dengannya sebagai dorongan kepada menteri terbabit untuk lompat parti dan membawa masuk beberapa Ahli Parlimen dari Sabah bagi menyertai pembangkang.

Anwar mengemukakan saman terhadap Anifah pada 27 Mei 2009 kerana mendakwa kenyataan anggota Parlimen Kimanis itu pada sidang media di Washington, pada 16 Mei 2009, yang turut dihadiri oleh Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) yang ketika itu Hillary Clinton, telah mencemarkan nama baiknya.

Advertisements