PasMa Anggap PAS Selangor ‘Hilang Punca’

SHAH ALAM, 19 Feb – Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad dilihat seolah-olah ‘hilang punca’ apabila mendesak NGO, Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) menjelaskan musuh sebenar NGO itu.

image

Presidennya, Datuk Phahrolrazi Zawawi menegaskan NGO itu bukannya musuh kepada mana-mana pihak sepertimana yang digambarkan pemimpin Pas itu sebaliknya menjadi penghubung antara penyokong dengan pimpinan tertinggi PR untuk memperkukuhkan parti.

“Saya ingat dia cemburu dan hilang punca dengan apa yang ada pada Pasma ini. Sepatutnya mereka meningkat program parti ini, kita lihat mereka (Pas) tidak mempunyai program yang banyak untuk bertemu dengan rakyat.

“Jadi sebab itu Pasma itu mengambil tempat di situ dan kita sebenarnya menjadi jalan depan antara parti-parti PR dengan penyokong,” katanya kepada Sinar Online, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Iskandar yang juga Exco Selangor semalam yang mendesak Pasma memberi penjelasan mengenai musuh sebenar NGO itu.

Iskandar berkata, Pasma dilihat lebih menumpukan serangan terhadap kepimpinan parti itu supaya tidak lagi stabil dan bukan menyerang kepada Umno.

Mengulas lanjut, Phahrolrazi juga menafikan pihaknya menjadi punca kepada ketidakstabilan dalam PR sebaliknya ia merupakan kelemahan pimpinan tertinggi PR sendiri apabila sering bertelagah dan berbeza pendapat.

“Ia tidak stabil kerana kenyataan-kenyataan pimpinan tertinggi PR sendiri yang sesama mereka ini tidak mencapai satu persetujuan, terdapat perbezaan, pertelagahan, tuduh-menuduh dalam media yang menyebabkan masyarakat umum melihat mereka tidak stabil, tidak boleh mencapai kata sepakat.

“Isu yang sekarang pun tidak boleh dipersetujui seperti hudud, pilihan raya pihak berkuasa tempatan dan isu ketua pembangkang yang baru mereka hendak selesaikan.

“Tidak stabil ini bukan kerja Pasma tetapi kepimpinan dalam menguruskan perbezaan mereka. Ini menyebabkan mereka dilihat tidak stabil tidak kukuh,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau juga mempertikaikan sikap Pas yang sangat mengongkong ahlinya daripada terlibat dengan program Pasma sedangkan parti komponen PR lain berlapang dada.

“Hanya Pas saja yang menghalang, itu hak dia, tetapi kita dengan parti PKR dan DAP pucuk pimpinan sudah mengambil pendirian terbuka menerima mana-mana NGO yang memberikan sokongan kepada PR untuk bekerjasama.

“Jadi langkah dia menyeru (halang) itu sebenarnya agak merugikan, mereka tiada ruang untuk berinteraksi dengan penyokong dan rakyat,” katanya lagi.