Dalam PAS Ada ‘Syaitan’ – Perwakilan Dewan Ulama Pas Kedah

SERDANG, 21 Feb – Perwakilan Dewan Ulama Pas Kedah, Mohamad Fauzi Hussin menggesa kepimpinan Pas Pusat segera membersihkan parti itu daripada unsur pengkhianatan yang disifatkannya sebagai ‘syaitan dalam jemaah’.

image

Beliau berkata kewujudan pengkhianat itu adalah mereka yang tidak memberi ketaatan atau wala’ kepada kepimpinan parti yang hanya memecahbelahkan parti gerakan Islam itu.

“Dalam konteks kita berjemaah, jika dalam masjid ada syaitan, maka dalam jemaah ini (Pas) berapa banyak syaitan yang wujud.

“Tak sempurna Islam kalau kita tidak berada dalam jemaah, melainkan kita dalam jemaah, tidak ada jemaah jika tiada kepimpinan.

“Sebab itu wala’ kepatuhan ketaatan dalam jemaah merupakan persoalan pokok,” katanya ketika membahas ucapan dasar Pemangku Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Ahmad Yakob pada Multaqa Ulama Semalaysia II di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), di sini, hari ini.

Terdahulu, Menteri Besar Kelantan itu mendakwa perbuatan tidak taat kepada pimpinan tertinggi bermakna seseorang itu telah menempah dosa kerana telah melanggar baiah yang telah di ikat antara dirinya dan ALLAH SWT.

Katanya lagi perbuatan tidak taat kepada pemimpin juga disifatkan sebagai pengkhianatan kepada parti.

Bagaimanapun tegasnya, ketaatan itu bukan untuk memperbodohkan ahli bawahan dan mendewakan pimpinan Pas membuta-tuli.