Imigresen Siasat Dakwaan Hanya Pengarah Boleh Perbaharui Permit Pekerja Asing

PETALING JAYA, 21 Feb – Jabatan Imigresen sedang menyiasat dakwaan majikan bahawa kakitangannya di kaunter tidak lagi membenarkan wakil syarikat untuk melakukan pembaharuan permit pekerja asing, sebaliknya menegaskan bahawa pengarah syarikat perlu hadir sendiri.

image

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Sakib Kusmi berkata beliau akan memeriksa dakwaan tersebut, tetapi menyatakan arahan jabatan adalah jelas bahawa peraturan baharu menetapkan seorang seorang wakil syarikat perlu hadir, tetapi tidak semestinya pengarahnya.

“Walau bagaimanapun, wakil tersebut perlu menunjukkan surat yang mengesahkan bahawa dia adalah pegawai dari syarikat tersebut.

“Tidak semestinya pengarah yang hadir. Pegawai-pegawai lain, termasuk pegawai sumber manusia juga boleh melakukan pembaharuan, ” katanya kepada The Star, Jumaat.

Sakib berikrar untuk menyiasat secara terperinci perkara ini jika terdapat cawangan Imigresen tertentu yang tidak mematuhi arahan tersebut.

“Kami akan menyiasat perkara itu dan memeriksa sama ada terdapat percanggahan mengenai perkhidmatan di kaunter. Tindakan yang sewajarnya akan diambil jika dakwaan adalah benar,” katanya.

Sakib berkata terdapat kes di mana ejen mendakwa mereka dari syarikat tertentu tetapi sebenarnya memperbaharui permit pekerja untuk kepentingan peribadi mereka.

“Kami mengenal pasti beberapa kes di mana ada pihak yang tidak bertanggungjawab memperbaharui permit atas nama syarikat tertentu.

“Bagaimanapun, apabila pemeriksaan lanjut dibuat, syarikat yang terlibat tidak tahu apa-apa tentang urusan tersebut,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Pengarah Bahagian Jabatan Pekerja Asing Farah Adura Hamidi menjelaskan bahawa wakil pengurusan majikan atau mana-mana anggota lembaga pengarah perlu datang sendiri untuk memperbaharui  permit kerja pekerja asing mereka.

Beliau berkata hanya perusahaan kecil yang dibenarkan untuk menghantar wakil daripada pihak pengurusan atau jabatan sumber manusia.

“Kehadiran majikan adalah perlu untuk mengesahkan bahawa syarikat mereka benar-benar wujud.

“Oleh itu, majikan perlu memberi kerjasama sepenuhnya kepada kerajaan untuk menguruskan pekerja asing yang lebih baik,” kata Farah Adura dalam satu temu bual dengan mStar Online.

Beliau berkata syarikat-syarikat boleh menghantar pengarah jika majikan utama tidak berada di dalam negara atau tidak dapat memperbaharui permit.

Farah Adura berkata ejen dan orang tengah tidak lagi dibenarkan untuk melakukan pembaharuan untuk mengelakkan kes-kes penipuan seperti kehilangan wang tunai dan pasport pekerja asing.

Beliau menambah terdapat kes di mana syarikat tidak sedar bahawa orang lain telah mengambil kesempatan daripada perniagaan mereka untuk mengambil pekerja asing.