Mat Sabu Digesa Akur Kepada Kepimpinan Ulama Dan Presiden Parti

SERDANG, 22 Feb – Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu digesa akur dengan kepimpinan ulama khususnya presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sama ada beliau suka atau sebaliknya.

image

Malah pemangku Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Dr Mahfouz Abdullah mengakui, beliau sendiri pernah menegur sikap Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu itu yang secara terang-terangan sering bertentangan dengan Abdul Hadi.

“Secara peribadi saya memang sudah tegur (Mat Sabu) pasal perlu beri sokongan kepada ulama dan bantu presiden.

“Memang itu sepatutnya sebagai seorang Muslim, suka atau tidak mesti nyatakan pendirian, dia (Mat Sabut ) tak boleh cakap macam itu (berlawanan)… kalau berterusan macam itu, ramai (ahli) akan menilai(kedudukan Mat Sabu),” katanya kepada  pemberita selepas Multaqa Ulama Semalaysia II anjuran Dewan Ulama Pas Pusat di Stadium Tertutup MPSJ, Serdang Jaya, di sini, semalam.

Beliau juga menyifatkan kepimpinan Abdul Hadi masih relevan meskipun ada usaha untuk menjatuhkannya oleh sebilangan pemimpin Ahli Jawatankuasa Pas Pusat dan ahli Pas yang termakan dengan fahaman Islam liberal.

Dewan Ulama Pas semalam lebih lantang dan tidak lagi berselindung di sebalik kemelut dalaman parti itu dengan memetik nama Mat Sabu dan AJK Pas Pusat, Dr. Mohd. Hatta Ramli secara terbuka sebagai dalang kepada gerakan menjatuhkan Abdul Hadi.

Perkara itu disuarakan wakil Dewan Ulama Pas Kedah, Mohamad Fauzi Hussin dengan menyifatkan kedua-dua pemimpin Pas itu sebagai biadap dan mendesak Pas Pusat supaya memecat mereka.

Sementara itu, Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali At-Takiri ketika ditanya tentang pemilihan Pas kali ini berhubung jawatan nombor dua itu, beliau berkata hanya ahli Pas akan menentukan calon yang terbaik.

“Terpulang kepada ahli…. kita hanya menceritakan siapa yang ada kemampuan menjadi pemimpin. (Biar) ahli yang tentukan,” katanya.