PAS Tidak Akan Tunduk Kepada DAP Berkaitan Perlaksanaan Hukum Hudud

SERDANG, 22 Feb – Kerajaan negeri Kelantan tetap akan meneruskan pelaksanaan hukum Hudud di negeri itu kerana ia adalah perintah Allah.

image

Penegasan itu dibuat pemangku Timbalan Ketua Dewan Ulama Datuk Dr Mahfodz Mohamed ketika berucap di penggulungan Multaqa Ulama Semalaysia II di Serdang, Selangor, semalam.

Mahfodz berkata, PAS tidak perlu tunduk kepada desakan DAP rakan sekutunya dalam Pakatan Rakyat (PR) yang menghalang hudud dilaksanakan.

“Kenapa kita perlu ikut DAP? Dasar mereka lain, iaitu mahu ke Putrajaya. Kita memang mahu menang (pilihan raya), tetapi bukan sekadar menang.

“Ulama tidak terima sebarang alasan (untuk tidak laksanakan hudud) kerana kita perlu tegakkan arahan Allah,” katanya pada ucapan penggulungannya.

Terdahulu, Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, rang undang-undang pindaan hudud akan dibentangkan pada 18 Mac, tarikh yang sama berlangsungnya pengundian awal bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka.

Amar juga sebelum ini dilaporkan sebagai berkata, DUN akan membincangkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993(Pindaan 2015) apabila ia bersidang dari 16 hingga 19 Mac depan.

Minggu lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh pengundian biasa PRK DUN Chempaka pada 22 Mac dan penamaan calon pada 10 Mac.

Selain itu, Mahfodz juga menafikan dakwaan yang PAS dilihat terlalu tergesa-gesa mahu melaksanakan hukum hudud.

Katanya, anggapan itu tidak benar kerana rang-rang undang tersebut diluluskan DUN Kelantan sejak 1993 dan PAS kini memperjuangkan hukum itu hampir 23 tahun.

Sepertimana tema multaqa ‘Terus Istiqamah Bersama Kepimpinan Ulama’, Mahfodz juga menegaskan dalam ucapan penggulungannya itu mengenai pentingnya kepimpinan PAS dilantik dari kalangan ulama.

Beliau berkata, sekiranya pemimpin PAS sepenuhnya daripada kalangan ulama, isu mengenai pelaksanaan hukum hudud tidak akan menjadi pertikaian.

Mahfodz juga membidas cubaan sesetengah pihak menjatuhkan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan mendakwa wujud pakatan dalam PAS untuk bersatu dengan Umno.

Sebaliknya katanya, ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Ketua Umum PKR yang dikatakannya hendak membentuk kerajaan perpaduan dengan Umno.

“Tidak ada kerajaan perpaduan antara PAS dan Umno. Bukan presiden (Hadi), tetapi Anwar yang sebenarnya membuat pakatan.

“Ia diakui sendiri oleh anaknya Nurul Izzah apabila mengesahkan yang bapanya ada menerima tawaran menjadi timbalan perdana menteri.

“Tetapi, mereka memaki hamun Hadi, dan Anwar tidak pula kata apa-apa,” katanya.

Sementara itu pada sidang medianya selepas itu, Mahfodz menegaskan yang resolusi 16 perkara yang diluluskan multaqa yang termasuk pelaksanaan hudud tidak akan bercanggah dengan tahaluf siyasi sedia ada bersama PR.

“Kita setuju untuk tidak bersetuju mengenai tahaluf siyasi. Kerana, kita tidak setuju pilihan raya kerajaan tempatan, tapi DAP teruskan. Jadi, PAS juga boleh lakukan perkara sama mengenai hudud,” katanya.

Advertisements