PAS Bukan Lagi Sebahagian Dari PR Jika RUU Hudud Dibentangkan – Gobind Singh Deo

SHAH ALAM, 23 Feb – Pas bukan lagi sebahagian daripada ahli komponen PR sekiranya bertegas membentangkan rang undang-undang pindaan hudud di persidangan Dun Kelantan pada 18 Mac ini.

image

Demikian kata Pengerusi Biro Undang-undang DAP, Gobind Singh Deo, yang mendakwa rang undang-undang itu tidak mendapat sokongan PR, yang diwakili oleh PKR, Pas dan DAP.

Malah, katanya, hudud juga bukan sebahagian daripada dasar bersama pakatan tersebut.

“Pembentangan rang undang-undang ini bertentangan dengan perjanjian dicapai pada kali terakhir mesyuarat kepimpinan PR, di mana dinyatakan dengan jelas perlu ada perbincangan lanjut di antara ketiga-tiga parti sebelum langkah seterusnya diambil mengenai perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Kerajaan Kelantan sebelum ini mengumumkan akan tetap membentangkan rang undang-undang hudud pada 18 Mac.

Timbalan Menteri Besarnya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, Dun Kelantan dijadual membincangkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) itu dalam persidangan yang bermula 16 hingga 19 Mac ini.

Menurut Gobind, yang juga Ahli Parlimen Puchong, Pas dianggap telah melakukan satu tindakan terbuka dan jelas untuk menentang rangka dasar bersama PR jika tetap meneruskan pembentangan rang undang-undang hudud.

“Jika begitu keadaannya, pemimpin Pas di belakang keputusan ini perlu berani mengakui mereka cuba mengeluarkan Pas daripada PR. Ini sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kredibiliti Pas sebagai parti yang dikatakan mahu memberi fokus dan bekerja untuk mengukuhkan PR,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan pemimpin Pas supaya menunjukkan komitmen parti tersebut terhadap PR.

“Pas perlu menghormati dasar bersama PR dan keputusan dibuat majlis pimpinan,” katanya.

Gobind menegaskan, DAP berhak menegur Pas jika tindakannya boleh menjejaskan kerjasama PR.

“Pas tidak sepatutnya memberi amaran kepada DAP untuk tidak campur tangan dalam urusan di Kelantan. Pas perlu ingat selagi mereka memilih untuk bersama PR, DAP bukan saja berhak, malah berkewajipan memastikan Pas tidak bertindak dalam apa-apa cara yang boleh melemahkan polisi bersama PR,” katanya.

Advertisements