“Pergi Tanya Mat Sabu” – Asmuni Awi

KUALA LUMPUR, 25 Feb – Penasihat Undang-undang Pas, Asmuni Awi enggan mengulas perkembangan siasatan ke atas Pengarah Pilihan Raya Pas, Dr. Mohd Hatta Ramli dan Timbalan Presidennya, Mohamad Sabu atau Mat Sabu yang didakwa cuba menjatuhkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

image

Tidak menjawab soalan yang ditanyakan oleh pihak media dalam satu sidang media baru-baru ini, beliau sebaliknya meminta pihak wartawan mengajukan soalan tersebut kepada Mohamad sendiri.

“Go ask Mat Sabu, don’t ask me. (Pergi tanya Mat Sabu, bukan tanya saya.)”

“I’m not here to represent Mat Sabu. (Saya di sini bukan mewakili Mat Sabu),” katanya.‎

Sebelum ini, Dewan Pemuda Pas Kuantan mendakwa wujud komplot terancang sekumpulan pemimpin kanan parti itu untuk menjatuhkan Abdul Hadi dan golongan ulama.

Ketuanya, Fadhli Ibrahim mendakwa, komplot itu dipercayai menguasai lebih separuh daripada Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat sehingga berupaya mensabotaj keputusan parti dan menjadikan Abdul Hadi seperti boneka.

Krisis dalaman Pas digemparkan lagi dengan sebuah rakaman audio yang didakwa ucapan Mat Sabu bagi menjatuhkan kepimpinan presiden parti itu tersebar di laman sosial semalam.