Usaha Tubuh Kerajaan Campuran PAS-UMNO Sukar Diramal – Muhyiddin Yassin

PUTRAJAYA, 25 Feb – Usaha menubuhkan kerajaan campuran Pas-Umno merupakan sesuatu yang sukar untuk diramalkan. Itu pandangan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai cadangan agar Pas dan Umno bergabung.

image

Jika penggabungan berlaku, katanya, ia bukan sahaja untuk menyelamatkan Melayu tetapi untuk selamatkan negara.

“Kerana sekiranya Melayu bersatu, rakyat Malaysia akan mudah maju. Namun itu hanya pandangan dan banyak pihak mengharapkan Pas dan Umno berbincang mewujudkan satu muafakat politik.

“Tetapi buat masa ini, belum lagi usaha ke arah itu. Mungkin harapan sahaja,” kata Timbalan Perdana Menteri pada sidang media selepas merasmikan Pelan Transformasi Minda ke Arah Negara Bersih, Indah dan Sejahtera, semalam.

Beliau juga menyokong apa sahaja inisiatif yang ingin diambil untuk mengukuhkan perpaduan rakyat.

“Tidak ada pihak yang tidak bersetuju jika perpaduan itu dipupuk, baik Melayu dengan Melayu atau Melayu dengan Cina dan lain-lain. Itu satu inisiatif yang baik.
“Cuma untuk menjadi suatu kenyataan, itu sukar untuk kita ramalkan,” katanya.

Mengenai jawatan Timbalan Perdana Menteri yang didakwa pernah ditawarkan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Muhyiddin berkata, beliau tidak mengetahui perkara itu.

“Saya tidak mahu terlibat dalam polemik yang tidak menguntungkan.

“Bagi saya ada isu yang lebih utama yang perlu kita hadapi. Isu ekonomi, isu sosial dan soal jawatan tidak menjadi perhatian penting bagi saya. Kalau ada pihak yang membuat tuduhan macam-macam, itu hak mereka,” katanya.

Diminta mengulas mengenai jelajah liwat II oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, iaitu ketua pendakwa raya kes Anwar, Muhyiddin berkata, itu adalah hak peguam tersebut untuk memberikan penjelasan kepada orang ramai.

“(Muhammad Shafee) orang bijak pandai. Saya fikir dia lebih pakar. Jika dia fikir sesuai untuk dia jelaskan dan ada pihak yang menjemput dia, saya tidak fikir itu perkara yang tidak baik. Itu terserah kepada dia.

“Siri jelajah itu juga tidak mungkin jejaskan Umno dan tiada pemimpin parti marah dengan tindakan itu,” katanya.

Muhyiddin pada sidang media itu juga dilihat cuba memartabatkan bahasa Melayu apabila meminta wartawan yang mahu beliau menjawab dalam bahasa Inggeris mendapatkan terjemahan yang tidak difahami daripada rakan media lain.

Menurutnya, beliau pernah dibidas apabila stesen televisyen menyiarkan ucapan dan sidang medianya dalam bahasa Inggeris sedangkan beliau sendiri yang juga Menteri Pendidikan sering menggesa masyarakat mendaulatkan bahasa Melayu.

Advertisements