Kes Saman Dua Bekas MB Selangor Lalui Proses Mediasi

SHAH ALAM, 27 Feb – Dua bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Dr Mohamad Khir Toyo, pada Khamis bersetuju untuk merujuk dua saman fitnah berhubung isu pembelian kereta Lexus dan pembelian 46 ekor lembu korban secara mediasi.

image

Pesuruhjaya Kehakiman M.Gunalan menetapkan 4 Mac ini untuk kedua-dua pihak menjalani proses itu. Dr Mohamad Khir hadir di mahkamah bersama-sama dua peguamnya, M.Athimulandan Siti Maspuah Maulan, manakala Abdul Khalid yang diwakili peguam K.Murali,tidak hadir.

Mahkamah sebelum ini menetapkan untuk perbicaraan.

Pada 18 Februari 2009, Abdul Khalid memfailkan dua saman fitnah terhadap Mohamad Khir berhubung kenyataannya mengenai Abdul Khalid dalam isu pembelian kereta Lexus dan pembelian 46 ekor lembu korban.

Dalam pernyataan tuntutannya, Abdul Khalid antara lain mendakwa Dr Mohamad Khir telah mengucapkan atau membuat dua kenyataan berunsur fitnah yang telah diterbitkan di dalam akhbar The New Straits Times bertajuk “Lexus is my own, says Khalid” pada 15 Januari 2009 dan di dalam akhbar Utusan Malaysia bertajuk “Lepaskan Jawatan MB” pada 23 Jan 2009.

Abdul Khalid mendakwa kedua-dua artikel itu secara langsung dan tidak langsung merujuk kepada beliau, yang bermaksud antara lain bahawa beliau adalah seorang tidak jujur, tidak beretika dan sengaja menyalah gunakan kedudukannya untuk kehidupan peribadi dan jawatan awam.

Dr Mohamad Khir juga didakwa telah secara salah menerima dan menunjukkan dokumen rasmi rahsia berkaitan dengan andaian salah laku dalam hal ‘lembu korban’ tanpa mengesahkan ketepatan fakta yang berkaitan dan seterusnya membuat tuduhan palsu.

Sehubungan itu, Abdul Khalid memohon ganti rugi pampasan, gantirugi teruk, gantirugi teladan dan perintah injunksi bagi menghalang Dr Mohamad Khir daripada terus melafazkan, bercakap atau menulis atau menerbitkan kenyataan terbabit yang didakwa memfitnah beliau.

Advertisements