Sejarah Penyingkiran Singapura

TENTU ramai yang ingin tahu mengapa Singapura disingkir dari Malaysia pada tahun 1965. Mungkin ada juga yang berpendapat, jika Singapura tidak disingkir dari Malaysia, masalah Tanjung Pagar dan keceluparan Lee Kuan Yew menghina Malaysia tidak akan berlaku; ia boleh diselesaikan secara dalaman.

image

Mungkin ada juga yang berpendapat, tidak perlu ada perbezaan undang-undang jika Singapura masih menjadi sebahagian daripada persekutuan Malaysia. Benarkah begitu? Di lihat dari urutan sejarah, penyingkiran Singapura adalah kerana adanya ‘personel ambitions, economic power versus state outonomy’ (G.P. Means, Malaysian Politics, London, hlm 342).

Pendapat ini adalah rumusan dari semua isu yang berbangkit dalam masa dua tahun Singapura menjadi anggota Malaysia. Pendapat ini hampir sama dengan banyak tulisan lain yang membincangkan pemisahan Singapura dari Malaysia.

Bagaimanapun, ada pengkaji yang beranggapan bahawa penyingkiran Singapura adalah kerana keangkuhan dan kesombongan Singapura yang selalu mencabar kesabaran pemimpin-pemimpin kerajaan pusat, terutama Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Siew Sin dan ramai lagi.

Singapura ternyata terlalu mementingkan haknya sebagai anggota Malaysia tanpa menghormati Semenanjung Malaysia sebagai ketua dan kerajaan pusat Malaysia. Sikap Singapura ini timbul kerana adanya perasaan ‘the island’s excessive sense of self-importance and the importance of its role in Malaysia’. (Mohamad Nordin Sopiee, From Malayan Union To Singapore Separation, UMP. K. Lumpur, 1974, hlm 185).

Singpaura mempunyai anggapan bahawa kedudukannya adalah lebih tinggi daripada mana-mana negeri dalam Malaysia.

Ia menunjukkan sikap mahu dilayan seperti satu daripada empat bahagian Malaysia iaitu Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Singapura sendiri.

Ia tidak mahu dilayan seperti salah satu daripada 14 buah negeri dalam Malaysia. Ini terbukti apabila Singapura mahu mengisytiharkan kemerdekaannya pada 31 Ogos 1963, sama seperti tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu; sebagai tanda kedudukannya setaraf dengan Persekutuan Tanah Melayu.

Walaupun Tunku menolak dan berlaku sedikit masam muka, tetapi Singapura tetap mengisytiharkan kemerdekaannya pada 31 Ogos 1963. (Straits Times, 1st September 1963). Ia adalah satu tamparan hebat kepada maruah Persekutuan sebagai pemimpin Malaysia.

Malah, Lee Kuan Yew sendiri dilaporkan telah mempersendakan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu yang diberikan ‘on a silver platter with red ribbons by British Royalty in uniform’ (Straits Times, 4th September 1963.

Walaupun Singapura sendiri merdeka dalam perut Malaysia dan menjadi anggota Malaysia dengan pujukan dan ugutan kepada British dan Persekutuan Tanah Melayu sendiri (Lihat C01030/978, Proposed Stae of Greater Malaysia, Part B, 1st December 1960).

Setelah memasuki Malaysia, Singapura mengamalkan sikap yang tidak mementingkan kemuafakatan dan musyawarah sebagai anggota Malaysia yang mahu pakatan Malaysia itu berjaya.

Dalam menyelesaikan sebarang masalah atau perbezaan pendapat di antara Singapura dan kerajaan Pusat, Singapura mempunyai pendekatan politik yang sangat provokatif.

‘The PAP brought the points of disagreement into the open and was not unduly averse to discussion, debate and quarelling in public.

This was a natural style for the PAP, a party whose power after 1961 depended not upon vote banks of institutionalized and socially rigidified constituencies of support but upon a direct appeal to the voter and upon rational persuasion and argument’. (Mohamad Nordin Sopiee, opcit, hlm.184).

Sikap dan pendekatan ini berbeza dengan Parti Perikatan yang lebih mengutamakan perundingan dan bertolak ansur dalam hal-hal yang besar sehinggalah kepada perkara yang kecil.

Ini memang telah menjadi tradisi UMNO dan orang Melayu sejak menentang Malayan Union dan British.

Pendekatan ini diteruskan lagi dalam mencari formula terbaik untuk mengadakan kerjasama bangsa-bangsa dalam tahun 1950-an untuk membentuk negara-bangsa ‘Malayan’ bagi mencapai kerajaan sendiri, pilihan raya dan seterusnya merdeka.

Parti Perikatan yang memerintah, walaupun menghadapi masalah kerakyatan, bahasa kebangsaan, sistem pendidikan kebangsaan dan lain-lain lagi, menggunakan pendekatan itu.

Oleh itu apabila Singapura mengamalkan sikap yang mementingkan diri sendiri dan tidak bertolak ansur, Tunku Abdul Rahman, Tan Siew Sin dan ramai pemimpin Perikatan yang terkenal dengan perasaan muhibah itu merasa tercabar.

Akhirnya, perang mulut melalui kenyataan akhbar berlaku; perundingan politik tidak lagi menjadi pendekatan politik terbaik dalam masyarakat majmuk Malaysia.

Singapura telah menunjukkan keengganannya untuk menjadi anggota Malaysia yang baik hati dan akur kepada prinsip sebuah negara persekutuan seperti Malaysia.

Singapura, sejak daripada mula lagi telah mementingkan diri sendiri, walaupun mengharapkan kemerdekaan daripada British melalui Malaysia.

Singapura tidak mahu membantu kewangan pusat bagi membiayai pembangunan Sabah dan Sarawak. Singapura mahu hal ehwal kewangannya, pertahanan dalamannya dan pentadbirannya bebas daripada Malaysia.

Tetapi, di satu segi lain, Singapura mahu mendapat keuntungan terbanyak daripada keanggotaannya dalam Malaysia.

Singapura mendesak pasaran bersama (common market) diadakan bagi memudahkan barangan industrinya disebarkan ke seluruh Malaysia.

Kerajaan pusat pula dipersalahkan apabila British memberhentikan import kain Singapura ke Hong Kong.
Pihak peniaga Singapura juga menolak tindakan Menteri Kewangan Malaysia Tun Tan Siew Sin ketika itu memperkenalkan dua jenis cukai baru ke atas barangan industri bagi mengatasi defisit Malaysia.

Singapura yang mempunyai industri yang lebih banyak dari mana-mana negeri, menentangnya dengan sokongan Lee Kuan Yew, Ketua Menterinya.

Tindakan Siew Sin menutup Bank of China di Singapura dianggap satu campur tangan kerajaan pusat ke atas kuasa negeri.

Dasar Malaysia memboikot barang-barang dari Afrika Selatan kerana menentang Dasar Aparteid juga tidak diterima baik oleh pedagang Singapura, Straits Times, 28 November 1964).

Singapura, ternyata mahu kebebasan dasar kewangan, perbankan dan perdagangan tanpa tertakluk kepada dasar negara Malaysia.

Parti PAP (People Action Party), pimpinan Lee Kuan Yew juga mula mengorak langkah untuk mencabar pengaruh Perikatan, terutama MCA dalam politik Malaysia, walaupun demokrasi menjadi amalan pilihanraya, namun PAP menolak kemasukan Perikatan ke Singapura, sejak Malaysia belum ditubuhkan lagi.

Parti Perikatan cawangan Singapura yang disokong oleh Perikatan Pusat telah menerima kekalahan teruk dalam pilihan raya Singapura di ambang pembentukan Malaysia.

Bagaimanapun, kemasukan Perikatan ke Singapura itu dianggap sebagai satu cabaran kepada pengaruh PAP (People Action Party).

Maka, dalam pilihanraya Persekutuan 1964, PAP telah bertanding menentang MCA.

Walaupun PAP memenangi satu kerusi sahaja (ia dimenangi oleh bekas Setiausaha Akhbar Lee Kuan Yew, Lim Kit Siang), namun, PAP melihatnya sebagai satu tanda kemenangan maruah politik PAP dan peluangnya untuk menggantikan MCA sebagai parti kaum Cina di Malaysia.

Tunku dan Perikatan, terutama MCA tentulah tidak boleh membiarkan hal ini; ia menjadi duri dalam daging yang terus menyakit dan membimbangkan.

Faktor pertembungan kepimpinan yang sama kuat juga tidak kurang penting dalam menambahkan ketegangan pusat dan Singapura.

Tunku Abdul Rahman adalah Perdana Menteri Malaysia, pemimpin utama Malaysia; namun, Ketua Menteri Singapura juga mempunyai kedudukan yang dinamik sehingga beliau sentiasa mendapat perhatian dari dunia luar seolah-olah beliau adalah setaraf dengan Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman.

Dalam lawatannya ke Australia dan New Zealand sebagai tetamu negara, beliau telah membuat kenyataan yang tidak menghormati kepimpinan Tunku dan kerajaan pusat.

Kritikan beliau telah membangkitkan kemarahan Tunku yang menjawab ‘we must not be pushed by a state governemnt’ (Sunday Gazette, 18 April 1965).

Pemimpin-pemimpin Singapura yang lain juga terus membuat kenyataan akhbar yang merendah-rendahkan integriti kepimpinan pusat, yang kebanyakannya adalah pemimpin Melayu. Ini mendalam dan merumitkan lagi persepsi politik di antara kedua pihak.

Akhirnya, perbezaan ideologi politik di antara Kuala Lumpur dan Singapura menjadi sebab utama pemisahan itu. Singapura, yang merasa tidak senang dengan desakan untuk melaksanakan dasar kedudukan istimewa Melayu dalam perlembagaannya, telah mempersoalkan dasar tersebut secara terbuka.

Ia dianggap sebagai sesuatu yang bertentangan dengan hak asasi manusia yang dijamin oleh perlembagaan Malaysia, Lee Kuan Yew memperkenalkan konsep ‘Malaysian Malaysia’ yang secara langsung menolak pertimbangan keistimewaan ke atas orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak.

Ini membangkitkan kemarahan UMNO dan orang Melayu lain yang melihat itu adalah satu cabaran kepada kedudukan politik mereka, yang telah diperjuangkan kepada kedudukan politik mereka, yang telah diperjuangkan sejak awal kurun ke 20, melalui gerakan kebangsaan mereka.

Peruntukan Kedudukan Istimewa Melayu telah diterima oleh British sejak tahun 1920-an dan 1930-an dan dilembagakan dalam Perjanjian Perlembagaan 1948 dan Perlembagaan Merdeka, 1957, sebagai ganti perluasan kerakyatan jus soli kepada semua bangsa, Yang Di Pertuan Agung menjadi penaungnya.

Hal ini kemudian diperluaskan ke Sabah dan Sarawak dalam Perlembagaan Malaysia 1963.

Rasa tidak puas hati orang Melayu Singapura yang tidak mendapat layanan yang sama seperti orang Melayu Semenanjung, telah menggalakkan mereka menyokong permintaan Syed Jaafar Albar, ketika itu sebagai Pegawai Penerangan UMNO, untuk memasukkan peruntukan itu di dalam perlembagaan Singapura.

Parti PAS dan 114 buah persatuan Melayu Singapura telah menyokong cadangan itu dan membuat pertemuan dengan Lee Kuan Yew.

Beberapa perarakan telah diadakan, tetapi ia menjadi di luar kawalan apabila unsor-unsor Parti Komunis Singapura dan pelampau Indonesia yang menentang pembentukan Malaysia dan penyokong dasar ‘Ganyang Malaysia’ tajaan Sukarno, campurtangan dalam perarakan itu.

Lee Kuan Yew menyalahkan pemimpin pusat di dalam akhbar dan di Dewan Rakyat. (Straits Times, 5 May 1965), tanpa menimbang bahawa pihak komunis yang sentiasa ingin menjatuhkannya di Singapura.

Lee Kuan Yew kemudian menubuhkan Malaysia Solidarity Conventions (MSC), dengan keanggotaannya dari parti-parti pembangkang Sabah dan Sarawak.

Tentunya tindakan Lee Kuan Yew itu mencabar kepimpinan Tunku Abdul Rahman dan kerajaan pusat. Ia juga dilihat sebagai satu cara melemahkan kedudukan politik orang Melayu/UMNO dalam Malaysia.

Akhbar Utusan Melayu dan Berita Harian menjadi jurucakap orang Melayu dan Persekutuan ketika itu.

Ada pihak yang mencadangkan supaya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dikenakan kepada pemimpin-pemimpin tertentu Singapura.

Ada pula yang berpendapat supaya Singapura menarik diri daripada Malaysia sebagai satu cara penyelesaian, sejak tahun 1964 lagi oleh pemimpin Singapura.

Ini menyebabkan ada dakwaan bahawa Singapura sengaja mencabar kerajaan pusat supaya Singapura dikeluarkan daripada Malaysia demi untuk mendapatkan kemerdekaan penuh sebagai sebuah negara. Pembentukan Malaysia hanya batu loncatan untuk kebebasan mutlak daripada British.

Walaupun ada berbagai pendapat bagaimana Singapura dikeluarkan dari Malaysia, namun, yang jelas, keputusan untuk menyingkir Singapura telah dibuat oleh Tunku Abdul Rahman sendiri tanpa sebarang rundingan dengan mana-mana menteri ataupun dengan nasihat kabinet atau parti Perikatan.

Tunku, yang berada di London Clinic, telah membuat keputusan itu dahulu sebelum meminta Tun Abdul Razak, Timbalan Perdana Menteri merujukannya kepada beberapa orang menteri kanan yang selalunya bersetuju dengan keputusan Tunku. Walaupun satu pertemuan dibuat dengan Ketua Menteri Singapura kemudiannya, ia tidak lagi bermakna.

Malah, ada yang berpendapat pihak Singapura memang telah bersedia dengan keadaan seperti itu.

Walaupun ada pendapat mengatakan Tunku membuat keputusan itu dengan bersyarat, tetapi kedudukan Tunku yang begitu berpengaruh dalam Perikatan dan Malaysia, tidak dapat dibantah oleh Sesiapapun.

Pada 7 Ogos 1965, Lee Kuan Yew, menandatangani persetujuan keluar dari Malaysia. Pada 8 Ogos, Tunku memberitahu pendiriannya kepada Majlis Kerja Perikatan dan pada 9 Ogos, cadangan dibentangkan di Dewan Rakyat.

Perbincangan berlaku selama dua jam sahaja, dengan bantahan kecil dari beberapa ahli Melayu yang melihat ‘kalau marahkan nyamuk kenapa kelambu di bakar? Bagaimanapun, cadangan itu diluluskan dengan suara majoriti.

Hampir dua jam kemudian ia diluluskan oleh Dewan Negara. Maka pada tengahari 9 Ogos 1965, rasmilah penyingkiran Singapura dari Malaysia.

Ternyata cabaran pemerintah Singapura kepada kedudukan politik orang Melayu, kepimpinan Tunku Abdul Rahman dan keangkuhan Singapura, telah menjadi faktor-faktor penyebab tindakan Tunku Abdul Rahman.

Ramai yang percaya, Tunku boleh membuat strategi yang lebih berkesan daripada melepaskan sebuah negeri yang begitu penting dan sangat strategik kepada sejarah, ekonomi, demografi, budaya dan persekitaran Persekutuan Tanah Melayu dan Malaysia sendiri.

Inilah sesuatu yang sangat dikesalkan oleh mereka, terutama parti pembangkang Melayu yang melihat Singapura adalah anak kandung kerajaan-kerajaan Melayu di rantau ini yang dikenali oleh pedagang dan kuasa penjajah Barat sebagai ‘The Malay Archipelago’.
Ternyata, tindakan menyingkirkan Singapura itu bukan jawapan kepada kesombongan Singapura yang nampaknya berterusan sehingga ke hari ini.

Ia tidak memudahkan hubungan Singapura dan Malaysia sebagai negara-negara yang terpisah, tetapi tetap dekat dengan sistem dan suasana politik, ekonomi, demogrfi dan hubungan diplomatik generasi yang ditinggalkannya. Hubungan sejarah dengan Singapura, sentiasa menjadi satu igauan ngeri, terutama bagi Lee Kuan Yew, pelakon utamanya.

Beliau masih terperangkap dengan kisah lama terhadap sebuah negeri yang kini mencipta kegemilangannya mengatasi Singapura, sebuah pulau kecil yang masih tidak terlepas daripada cengkamannya.

Advertisements