Khalid Samad Selar MB Kelantan Isu Tukar Presiden

SHAH ALAM, 15 Mac – Anggota Jawatankuasa PAS Pusat, Khalid Samad hari ini menyelar kenyataan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob baru-baru ini bahawa tiada keperluan menukar presiden parti itu.

image

Khalid berkata tindakan Ahmad, yang juga Timbalan Mursyidul Am PAS, bercanggah dengan kenyataan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini yang terbuka dengan pertandingan terhadap jawatan itu.

Pada Khamis lepas Hadi menyatakan beliau bersedia dicabar pada muktamar tahunan parti itu yang ke-61 Jun depan sekiranya pertandingan itu mendapat sokongan anggota parti.

Khalid berkata kenyataan Ahmad itu memberikan imej negatif kepada parti tersebut sedangkan Abdul Hadi telah menyatakan keterbukaannya untuk dicabar.

“Kenyataan (Ahmad) itu seolah-olah menunjukkan Hadi tidak mendapat sokongan daripada anggota PAS.

“Pemilihan jawatan presiden tidak seharusnya tertumpu kepada kehebatan ilmu seseorang pemimpin, sebaliknya lebih kepada kualiti kepemimpinan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Mesyuarat Agung Tahunan PAS kawasan Shah Alam, di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Ahmad semalam yang mahu Hadi dikekalkan sebagai Presiden PAS kerana “mampu menjalankan tanggungjawab dengan baik dalam menghadapi pelbagai situasi”.

Khalid yang juga Anggota Parlimen Shah Alam berkata anggota PAS seharusnya diberi peluang memilih calon yang disukai bagi jawatan presiden parti itu seperti yang termaktub dalam undang-undang parti.

Semalam mesyuarat agung PAS kawasan Kota Tinggi sebulat suara mencalonkan Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa untuk jawatan Presiden.

Pada 9 Mac lepas, PAS kawasan Kota Baharu mencalonkan Naib Presiden parti itu Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man untuk jawatan presiden.

Tuan Ibrahim menolak pencalonan itu dengan mengatakan Hadi tidak perlu ditukar.

Tuan Ibrahim berkata beliau lebih berminat bertanding jawatan Timbalan Presiden parti.

Advertisements