UMNO Yakin PAS Ikhlas Laksanakan Hudud Di Kelantan

KUALA TERENGGANU, 27 Mac – Kesungguhan Pas membawa hudud ke Parlimen sehingga sanggup menerima tekanan dan penolakan daripada rakan PR sendiri memperlihatkan keikhlasan parti itu terhadap pelaksanaan undang-undang Islam di Kelantan.

image

Naib Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Badrol Hisham Zaki berkata, keadaan itu telah mengubah persepsi segelintir pihak bahawa Pas hanya berpolitik memandangkan isu tersebut sebelum ini hanya dilaungkan Pas dan dilihat hanya taktik mendapat undi rakyat menjelang pilihan raya umum.

Dalam masa sama, beliau turut menolak pandangan segelintir pihak yang anggap Umno sebagai mahu mendapatkan undi rakyat apabila kesemua adunnya di Kelantan sokong pelaksanaan hudud.

“Pas tidak berpolitik dan BN juga tidak berpolitik dalam isu ini. (Melalui perkembangan itu) saya cukup yakin dan percaya pelaksanaan boleh dilakukan dan rakyat Kelantan boleh terima hudud ini.

“Apa yang penting, hukum ini sudah ada dan untuk apa kita takwil lagi. Saya lihat Pas betul-betul ingin laksanakan hudud di Kelantan. Dalam Sidang Dun, ahli Dun Bn juga tidak menentang,” katanya.

Beliau turut menyokong penuh pelaksanaan hudud yang termaktub dalam perundangan Islam dan turut mengalu-alukan sekiranya Kerajaan Terengganu juga mahu mengikut langkah sama.

Bagaimanapun katanya, kesediaan untuk melaksanakan hudud perlu dimantapkan dengan kelengkapan dan mekanisme yang diperlukan untuk memastikan pelaksanaan hudud dapat berjalan dengan lancar.

Dari sudut itu katanya, penting untuk rakyat mendapat input yang lebih baik berhubung hudud supaya mereka faham mengenai perkara itu yang mendapat pelbagai respons daripada ramai pihak ketika ini.

“Kesediaan untuk pelaksanaan hudud itu perlu dimantapkan lagi dengan pemahaman rakyat mengenai hudud dan qisas supaya rakyat faham,” katanya.

Dalam masa sama, Badrol Hisham turut melihat Pas berdepan dengan cabaran tersendiri dalam memastikan pelaksanaan perundangan syariah itu apatah lagi rakan PR sendiri secara jelas memberitahu pihaknya akan menolak perundangan tersebut jika di Parlimen kelak.

Advertisements