DAP Kedah Dakwa Lim Guan Eng Tidak Mengamalkan Demokrasi

ALOR SETAR, 29 Mac – DAP Kedah yang dipengerusikan Tan Yen Chai menyifatkan keputusan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng memutuskan hubungan dan kerjasama dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung isu hudud, sebagai tidak mengamalkan demokrasi.

wpid-picsart_1427397921146.jpg

Beliau berkata, negara ini mengamalkan demokrasi dan dengan itu Pas mempunyai hak untuk mengemukakan usul Rang Undang-Undang Persendirian berhubung pelaksanaan hukum hudud di Dewan Rakyat.

“DAP kena kalau betul-betul nak tolak hudud, tolak dalam Parlimen (Dewan Rakyat) melalui undi barulah demokrasi,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Setiausaha Organisasi DAP Kedah, Law Theng Hooi pula berpendapat tindakan Guan Eng itu sebagai terburu-buru.

Beliau bimbang keadaan itu akan menyebabkan timbul persepsi buruk dalam kalangan pengundi, selain menyebabkan kemelut PR bertambah buruk.

“Dia (Lim) patut ada semangat PR, jangan terburu-buru sebab dia perlu ambil kira penyokong PR pelbagai kaum yang banyak beri sumbangan,” kata Law.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang dalam satu kenyataan baru-baru ini berkata, DAP tidak boleh lagi bekerjasama dengan Abdul Hadi kerana didakwa tidak jujur dan tidak bermaruah.

Ini susulan tindakan Abdul Hadi mengemukakan usul Rang Undang-Undang Persendirian berhubung pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) atau hudud di Dewan Rakyat.

Jawatankuasa DAP Kedah yang diterajui Tan tidak diiktiraf Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP kebangsaan, apabila pada Mei 2013, Guan Eng melantik Zairil Khir Johari sebagai Pengerusi Interim DAP Kedah. Pada Konvensyen Biasa DAP Kedah 2014, Adun Derga Tan Kok Yew dipilih sebagai Pengerusi DAP Kedah.

Bagaimanapun, Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengiktiraf jawatankuasa dipengerusikan Lee Guan Aik ketika itu sebagai sah, menyebabkan wujud dua kumpulan dalam DAP Kedah. Tan Chun Ping dipilih menggantikan Guan Aik pada Konvensyen Biasa DAP Kedah 2014, sebelum diterajui Tan.