Kerajaan Kelantan Puji Tindakan Pantas Kerajaan Pusat

KOTA BAHARU, 9 April – Kerajaan Kelantan memuji tindakan pantas kerajaan pusat yang segera membawa pulang rakyat Malaysia di Yaman, berikutan pergolakan di negara berkenaan.

image

Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata usaha membawa pulang rakyat Malaysia yang berada di Yaman melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) adalah satu tindakan tepat.

“Saya mengucapkan penghargaan kepada Kementerian Pertahanan yang segera mengambil tanggungjawab dalam menyelesaikan urusan evakuasi rakyat Malaysia yang berada di sana (Yaman),” katanya di laman Facebooknya hari ini.

Ahmad berkata rakyat Malaysia yang berada di negara itu juga diminta mendaftar dengan kedutaan Malaysia bagi memudahkan urusan evakuasi.

“Saya mengharapkan para pelajar dan juga rakyat Malaysia yang berada di Yaman memberikan kerjasama sepenuhnya untuk dibawa pulang ke Malaysia dan segera mengambil langkah berdaftar dengan Kedutaan Malaysia di sana bagi memudahkan urusan evakuasi tersebut.

“Jangan ada di kalangan pelajar-pelajar di sana yang terlibat dengan sebarang agenda memerangi pemberontak Houthi yang semakin memuncak pada ketika ini,” kata Ahmad.

Semalam, jurucakap Kementerian Luar dilaporkan berkata 121 rakyat Malaysia yang dibawa keluar dari Yaman selamat tiba di tanah air.

Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin hari ini berkata dua pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (RMAF) kini berada di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) sebagai persediaan untuk membawa pulang lebih banyak rakyat Malaysia dari Yaman.

Beliau berkata dua pesawat Hercules C-130, bersama-sama 43 anggota berlepas ke UAE malam tadi dari pangkalan udara TUDM di Subang dan terdapat lebih 500 rakyat Malaysia di Yaman yang sedang menunggu untuk dibawa keluar dari negara itu.