Kritikan Tun M Kepada Najib Tidak Jejas Peluang BN Pada PRK

SHAH ALAM, 14 Apr – Kritikan lantang yang dilemparkan Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Datuk Seri Najib Razak tidak seharusnya diterima bulat-bulat oleh rakyat dengan menidakkan kepimpinan dan prestasi Perdana Menteri tersebut.

image

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Shukor Idrus malah yakin serangan bekas perdana menteri itu pada masa kini tidak akan memberi impak besar kepada BN untuk berdepan dengan dua pilihan raya kecil (PRK) yang akan datang.

“Tohmahan belum tentu ada kebenarannya. Apa yang kita lihat dan nikmati pada hari ini sepatutnya dinilai oleh rakyat bagaimana trend kepimpinan PM sekarang.

“Kedua-dua pilihan raya kecil ini beri peluang kepada rakyat untuk melihat sejauh mana keberkesanan yang dilaksanakan perdana menteri hari ini berbanding yang terdahulu,” katanya kepada Antarapos, hari ini.

Beberapa pihak beranggapan PRK Rompin dan Permatang Pauh yang akan diadakan pada Mei depan menjadi penentu kepada masa depan Umno-BN, sementelah ia gagal mengekalkan prestasi terbaik pada Pilihan Raya Umum ke-13, dua tahun lalu.

Malah kritikan Mahathir terhadap Najib kebelakangan ini juga seolah-olah ‘membuka ruang’ kepada rakyat untuk menolak parti pemerintah itu.

Mahathir sebelum ini menggesa Najib meletak jawatan nombor satu negara itu kerana kegagalannya menjawab kontroversi berkenaan 1Malaysia Development Bhd (1MDB), pembunuhan wanita Monglia, Altantuya Shaaribuu, pelaksanaan GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan), BRIM (Bantuan Rakyat 1Malaysia), Akta Hasutan, POTA (Rang Undang-Undang Pencegahan Keganasan) dan prospek ekonomi negara.

Najib pada Rabu lalu muncul dalam temubual Soal Jawab terbitan TV3 dengan menjawab pelbagai tohmahan yang dilemparkan, termasuk daripada Mahathir dan pihak pembangkang.