Golongan Ulama Dalam PAS Masih Belum Tergugat – Haron Din

BANGI, 19 April – Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din berkata dominasi golongan ulama mengisi jawatan nombor satu dalam hirarki kepimpinan sehingga kini belum tergugat namun parti berteraskan Islam itu bersedia menerima peneraju dari kalangan profesional.

image

Jelas beliau, kedudukan serta pengaruh ulama dalam PAS masih kuat dan sukar untuk menghakis dominasi golongan tersebut yang turut menjadi asas pembentukan parti itu.

“Walaupun  berlaku apa yang berlaku, saya memerhati dengan penuh teliti untuk melihat dan menilai sendiri adakah sebenarnya golongan ulama yang begitu lama dominan dalam PAS malah yang menubuh PAS pun ulama, yang memimpinnya adalah ulama.

“…dan kerana ia parti Islam bagaimana mungkin Islam dapat ditegakkan atau direalisasikan dalam masyarakat kalau tidak orang yang faham Islam jadi pentadbir, pemegang amanah dan menjadi penanggung amanah,” katanya dalam temubual ekslusif bersama Antarapos baru-baru ini.

Bagi memastikan kelangsungan corak pimpinan ulama, ujar Haron, PAS telah meluluskan usul yang dikemukakan Dewan Pemuda PAS pada 1982 yang memperoleh sokongan padu perwakilan dalam muktamar ketika itu.

“Maka kerana itulah mungkin disedari dalam tahun 1982 muktamar tahunan PAS di Dewan Bahasa dan Pustaka, Dewan Pemuda telah membawa usul dalam muktamar ketika itu mengajak menetapkan bahawa PAS hendaklah beramal dengan dasar kepimpinan ulama dan diterima.

“Bukan diterima sahaja tapi dipakai dan dipraktikkan dengan jayanya, atas itulah maka muktamar tahun 1982 memilih seorang ulama Allahyarham Yusof Rawa,” katanya.

Untuk rekod PAS akan mengadakan Muktamar Tahunannya Ke-61 menyaksikan pemilihan pucuk pimpinan turut berlaku, program tersebut akan berlangsung di Kuala Selangor, Selangor pada Jun ini.

Parti berteraskan Islam itu berdepan krisis perpecahan dalaman yang makin kronik apabila sayap ulama parti mengakui wujud cubaan untuk mensabotaj, merungkai dan mempertikaikan kepemimpinan ulama yang selama ini menjadi teras kekuatan parti tersebut.

Dikatakan punca kepada masalah yang kian membarah sehingga menyaksikan kepimpinan Abdul Hadi makin tergugat itu pula dikaitkan dengan kepelbagaian aliran pemikiran ahli PAS sendiri yang menyertai parti tersebut selepas era reformasi 1998.

Selain Abdul Hadi, dua Naib Presiden PAS iaitu Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Husam Musa turut menerima pencalonan bagi jawatan presiden.

Namun Tuan Ibrahim secara terbuka menolak pencalonan bagi jawatan presiden sementara Husam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor masih berteka-teki tentang keputusannya.

KEDUDUKAN ULAMA TIDAK TERGUGAT, AHLI MASIH PERLUKAN HADI SEBAGAI PRESIDEN

Mengulas lanjut, pengamal perubatan Islam ini menambah dominasi ulama mengisi kedudukan nombor satu berterusan dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dipilih sebulat suara memegang jawatan presiden pada 2002.

“Tak lama kemudian atas keuzurannya dia menarik diri untuk dilantik menjadi Mursyidul Am yang pertama, kemudian dipilih orang yang menggantikannya Allahyarham Datuk Dr Fadzil Nor yang juga seorang ulama.

“Bila Allah memanggil balik Datuk Fadzil Noor maka muktamar sebulat suara memilih tok guru haji Hadi Awang sebagai presiden.

“Kesemuanya merupakan ulama-ulama dalam PAS yang diterima pakai,” katanya.

Kata Haron, akar umbi boleh mencalonkan mana-mana individu yang dirasakan layak menggalas jawatan presiden menambah individu tersebut perlu mempunyai ciri-ciri seorang pemimpin terutamanya pegangan agamanya.

“Silalah buat cadangan tapi hendaklah pertarungan yang sihat dan yang betul-betul dapat melahirkan insan yang tahu tanggungjawab, menjunjung Allah sebagai tuhannya, Islam sebagai agama dan al-Quran dan sunnah sebagai pegangannya.

“Kalau itulah pegangannya saya merasakan tiada masalah walaupun orang lain dipilih kalau berlaku demikian maka PAS akan terima dengan hati yang terbuka,” katanya.