PKR Tidak Akan Tarik Balik Kenyataan Mereka Terhadap PAS

BUKIT MERTAJAM, 20 April – PKR tidak akan menarik balik kenyataan mereka terhadap PAS berhubung isu hudud untuk memastikan parti Islam itu menyokong jentera pilihan raya kecil (PRK) Permatang Pauh pada 7 Mei depan.

image

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali berkata isu itu tidak berbangkit memandangkan PAS Pusat memberikan kerjasama yang baik buat masa ini, bagi memastikan kerusi Parlimen itu berjaya dipertahankan.

PAS Permatang Pauh sebelum ini mengugut untuk tidak memberi kerjasama kepada PKR sepanjang PRK kali ini jika PKR tidak menarik balik kenyataan tidak menyokong rang undang-undang persendirian (RUU) berkaitan Hudud jika mahu terus mendapatkan sokongan.

“Tidak timbul soal tarik balik (kenyataan) di sini kerana Yang Dipertua (PAS) kawasan Permatang Pauh, Omar Hassan, hadir sendiri untuk pelancaran jentera PKR,” katanya kepada pemberita selepas program minum petang bersama-sama Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di sini, hari ini.

PAS Permatang Pauh memutuskan untuk memberi tempoh sehingga sebelum hari penamaan calon pada 25 April ini kepada PKR untuk berbuat demikian serta menuntut rakan sekutunya itu memohon maaf secara terbuka.

Azmin berkata beliau bersama-sama Wan Azizah akan cuba mendapatkan pengesahan mengenai keputusan PAS Permatang Pauh itu dengan mengadakan perjumpaan bersama-sama pemimpin PAS negeri.

Sementara itu, Azmin yang juga Menteri Besar Selangor sekali lagi menafikan dakwaan lima Anggota Dewan Undangan Negeri PKR akan melompat parti dan bekerjasama dengan bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Ini hanya propaganda untuk kempen pilihan raya kecil, dan saya yakin bahawa kesemua 43 Anggota Dewan Undangan Negeri PKR Selangor komited untuk mempertahan dasar Pakatan Rakyat,” katanya.

Pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh diadakan berikutan penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai wakil rakyat selepas Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon Anwar melalui anggota keluarganya.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pengundian awal pada 3 Mei dan hari pengundian pada 7 Mei.