UiTM Perlis Buat Penyelidikan Panjangkan Hayat Harumanis Masak

ARAU, 20 April – Mempelam harumanis, antara produk ikon Perlis, turut mendapat sentuhan penyelidikan Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk memanjangkan hayat buah yang telah masak.

image

Rektornya, Datuk Prof Dr Ahmad Redzuan Abdul Rahman berkata penyelidik UiTM Perlis menemui kaedah untuk mengekalkan kualiti buah yang masak sehingga dua minggu namun masih banyak kajian perlu dijalankan sebelum boleh dikomersialkan.

“Penyelidikan dibuat untuk menyokong industri tanaman harumanis Perlis yang mendapat permintaan tinggi termasuk dari luar negara di samping melatih pelajar meneroka bidang pertanian buah-buahan.

“Saya akan mendapatkan peralatan dan teknologi terkini bagi tujuan penyelidikan dan pembelajaran kerana minat staf dan pelajar dalam bidang pertanian sangat positif,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Pembukaan Latihan Berterusan Pegawai Kadet Palapes (Pasukan Latihan Pegawai Simpanan) UiTM di padang kawad di sini Isnin.

Sebanyak 481 anggota Palapes dari UiTM Perlis, Pahang, Terengganu, Melaka dan kampus induk Shah Alam menyertai latihan seminggu bermula hari ini.

Sebelum majlis perasmian berlangsung, Ahmad Redzuan menerima zakat sebanyak RM17,991 sumbangan Bank Islam Malaysia (BIMB) daripada Pengurus BIMB cawangan Kangar, Muhammad Yusri Saidin untuk pemasangan tiga unit monitor LCD di Masjid An-Nur UiTM Perlis.

Menurut Ahmad Redzuan, kira-kira 500 daripada 1,000 pokok harumanis yang ditanam di ladang seluas empat hektar dalam kawasan kampus, dijangka menghasilkan 12 metrik tan bernilai RM180,000, menambah RM20,000 daripada hasil jualan tahun lepas.

Beliau mencadangkan ditubuhkan Muzium Mangga Malaysia yang mengumpul spesies-spesies mempelam yang hidup di bumi Malaysia dalam kawasan UiTM Perlis sebagai daya penarik industri pelancongan negara.

“Saya ingin memberitahu bahawa harumanis UiTM Perlis ada dilekatkan pelekat (sticker). Buah yang tiada pelekat bukan dari ladang kami. Harumanis itu boleh dibeli di pusat jualan di kampus Perlis mulai awal Mei, berharga RM20 satu kilogram,” katanya.

Menurutnya Fiesta Harumanis kali ketiga akan diadakan bagi memeriahkan konvokesyen UiTM Perlis pada 25 dan 26 Mei. – Bernama

Advertisements