KSN Dilantik Sebagai Pengerusi PR1MA – Pejabat PM

PUTRAJAYA, 21 April – Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), demikian menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri.

image

Menurut kenyataan itu, pembangunan dan perjalanan PR1MA tidak asing bagi Ali kerana beliau merupakan seorang daripada anggota Perbadanan PR1MA sejak 2012 dan begitu arif mengenai perihal semasa PR1MA.

“Selaku pengerusi PR1MA, Ali akan terus menjalankan mandat yang diberikan untuk merealisasikan aspirasi pemilikan rumah dalam kalangan golongan berpendapatan pertengahan,” demikian menurut kenyataan itu.

Ali menggantikan Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis yang terkorban dalam nahas helikopter di Semenyih, 4 April lalu.

Sementara itu Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Shukry Mohd Salleh pula dilantik sebagai Anggota Perbadanan PR1MA yang baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA Datuk Mutalib Alias berkata pihaknya menyambut baik kedua-dua pelantikan itu dan akan terus melaksanakan mandat untuk membantu rakyat berpendapatan pertengahan memiliki rumah sendiri. – Bernama

Advertisements