PKR Batal Kesemua Program Azmin Di Permatang Pauh

GEORGE TOWN, 21 April – PKR membatalkan semua programnya di Permatang Pauh hari ini yang membabitkan Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali.

image

Penyelaras media PKR untuk pilihan raya kecil (PRK) Permatang Pauh, Mohd Hafizan Mazuki dalam kenyataan pada Isnin berkata pembatalan program itu termasuk kenduri rakyat dan pelancaran pusat operasi PRK di Guar Perahu atas beberapa sebab.

Walaupun tidak menyatakan sebab pembatalan, sumber parti menyebut ia ada kaitan dengan mesyuarat tergempar di Selangor yang membabitkan para pemimpin PKR dan PAS bagi membincangkan kerjasama antara kedua-dua parti menjelang PRK Permatang Pauh.

Menurut laporan semalam, Ketua PAS Permatang Pauh Omar Hassan memberikan kata dua kepada PKR supaya menarik balik kenyataannya yang menolak rang undang-undang berkaitan hudud jika mahu mendapat sokongan PAS untuk PRK Permatang Pauh.

Omar berkata PAS Permatang Pauh memberi tempoh kepada PKR sehingga hari penamaan calon pada 25 April dan mendesak PKR memohon maaf secara terbuka.

Sementara itu Timbalan Ketua AMK Khairil Anuar Kamarrudin ketika dihubungi berkata beliau telah menerima arahan daripada pemimpin pusat PKR supaya tidak mengeluar kenyataan pada masa sekarang.

“Sejak minggu lepas kami menerima arahan daripada para pemimpin pusat parti supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan kerana terlalu banyak manipulasi terhadap situasi antara parti dan PAS,” katanya.

PRK Permatang Pauh diadakan berikutan penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai anggota parlimen selepas petisyen pengampunan diraja terhadap hukuman penjara atas kesalahan meliwat yang difailkan oleh keluarganya ditolak oleh Lembaga Pengampunan.

Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun kerana meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Hari mengundi PRK Permatang Pauh ditetapkan pada 7 Mei.

Advertisements