Sudah 17 Tahun Tiada Pembangunan Baru Di Permatang Pauh – Mohd Zaidi

SHAH ALAM, 21 April – Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh Datuk Mohd Zaidi Mohd Said, menyifatkan tiada pembangunan yang berlaku di kawasan bekas ahli parlimen Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas 17 tahun pakatan pembangkang mengambil alih.

image

Ujarnya pembangunan terhenti sejurus selepas Anwar disingkirkan daripada Umno-Barisan Nasional (BN) selepas dijatuhi hukuman penjara selama enam tahun kerana didapati bersalah di atas kesalahan penyalahgunaan kuasa pada tahun 1999.

“Pembangunan oleh kerajaan Persekutuan ataupun negeri dalam tempoh 17 tahun ini di bawah ahli parlimen Pakatan Rakyat memang telah terberhenti.

“Maksud saya sepanjang 17 tahun tiada satu pun pembangunan baru yang berlaku di Permatang Pauh, yang ada ni semua sedia ada sebelum atau pada ketika ahli parlimen waktu itu adalah Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri daripada Umno yang membangunkan Permatang Pauh.

“Selepas itu tiada pembangunan baru kecuali daripada pihak swasta, taman-taman perumahan baru dan sebagainya,” katanya secara eksklusif kepada Antarapos.

Menyentuh mengenai peluang pekerjaan di Permatang Pauh, ujarnya perkara itu tidak menimbulkan masalah kerana kawasan itu berhampiran dengan tempat perindustrian.

“Kalau ikut Permatang Pauh ni adalah satu kawasan pinggir industri jadi soal pekerjaan bukan satu isu berat. Peluang pekerjaan itu memang ada di sana daripada dulu kerana berdekatan dengan dengan industri Prai dan Mak Mandin, hanya bersebelah sahaja dengan kawasan industri.

Namun tahap kemiskinan di Permatang Pauh masih tinggi dan kerajaan negeri di bawah pimpinan Lim Guan Eng gagal membantu rakyat miskin sehingga mereka sering meminta bantuan daripada Umno-BN.

Katanya lagi kerajaan negeri ada menyediakan bantuan tetapi ia tidak mencukupi, seperti Program Penghargaan Warga Emas, Program Bantuan Ibu Tunggal dan OKU peruntukan hanya diberikan RM100 setahun sekali.

Begitu juga dengan Program Skim Pelajar Emas, setiap pelajar Sekolah Rendah (Darjah 1 & 4) dan Sekolah Menengah (Tingkatan 1 & 4) yang bersekolah di Pulau Pinang yang didaftarkan hanya menerima wang sebanyak RM100 sekali sahaja.

“Tetapi isu kemiskinan memang ada, disebabkan kawasan-kawasan setempat tanah-tanah pertanian yang makin berkurangan, kemudahan pembiyaan dan sebagainya yang agak kurang membantu orang Permatang Pauh menyebabkan segelintir masyarakat yang hidup dalam keadaan agak susah.

“Jadi selama ni kita di peringkat Umno Bahagian yang membantu orang miskin, warga emas, ibu tunggal dan sebagainya.

“Dengan macam-macam program yang kita buat secara berkala atau pada musim-musim tertentu, kita ambil alih jawatan sebagai ahli parlimen Permatang Pauh ini untuk membantu dalam soal kemiskinan ini,” katanya.

Apatah lagi menurut beliau, ahli parlimen kawasan berkenaan sebelum ini sukar ditemui bagi mendapatkan bantuan yang diperlukan kerana Anwar jarang turun padang bertemu rakyat.

“Sebab ahli parlimen Permatang Pauh Datuk Seri Anwar ni tak tinggal di sana. Bukan setakat tak tinggal di sana, beliau juga jarang balik ke sana.

“Jadi saya rasa dalam hati orang-orang miskin Permatang Pauh ni apabila mereka nak minta bantuan, pertolongan dan sebagainya akan ke pejabat Umno.

“Sebab mereka tahu memang tak akan dapat temui Anwar dalam keadaan kesibukan Anwar ke sana sini dan tak mempedulikan urusan dalam Permatang Pauh,” katanya kesal.