Penapisan Kandungan Dalam Media Alternatif Wajar – Tun Mahathir

KUALA LUMPUR, 24 April – Kandungan semua media alternatif seperti blog dan media sosial perlu ditapis bagi mengekang kebimbangan terhadap bahan yang disalurkan menerusi internet, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

image

Bekas perdana menteri itu berkata orang selalu menyalahgunakan kemudahan internet, menggunakan saluran berkenaan bukan sahaja untuk menyebarkan apa yang baik tetapi juga menyebarkan apa yang tidak sihat untuk masyarakat.

“Saya mendengar banyak laman lucah yang mudah untuk diakses oleh generasi muda tetapi tidak mudah untuk kita mencegah kerana mereka sangat teruja dengan cara yang salah.

“Tindakan seperti ini boleh menyumbang kepada gejala sosial seperti kes-kes rogol,” kata Dr Mahathir semasa memberi ucapan khas pada Sidang Kemuncak Media Sosial dan Blogger Sedunia 2015 di Hotel Berjaya Times Square di ibu negara, Khamis.

Sidang kemuncak itu diadakan sempena Minggu Media Sosial Malaysia 2015 bermula Selasa lepas hingga Sabtu ini.

Dr Mahathir menegaskan media sosial memberi kesan kepada ciri-ciri individu terutama generasi muda yang lebih terdedah kepada media sosial tanpa bimbingan dan kawalan ibu bapa.

“Pada masa lalu, jika menerapkan nilai-nilai yang baik dalam kanak-kanak, kita bergantung kepada ibu bapa tetapi ibu bapa hari ini tidak menghabiskan masa berkualiti yang banyak bersama anak-anak mereka.

“Kanak-kanak membesar dengan belajar daripada rakan mereka dan ini mengakibatkan masalah sosial,” katanya.

Menurutnya, semua pengguna internet harus menggunakan media sosial dengan bijak dan bertanggungjawab dengan apa yang mereka kongsikan dengan orang awam menerusi medium itu.

“Maklumat dalam media sosial boleh disebarkan ke serata dunia dalam masa sesaat. Media sosial memberikan kita kuasa yang tidak pernah dilihat sebelum ini.

“Semua orang hari ini menggunakan media sosial untuk mendapatkan kuasa yang luar biasa tetapi jangan anda membenarkan diri anda tercemar dan rosak dengan kuasa itu,” katanya.

Tambahan pula, Dr Mahathir berkata walaupun pengguna internet boleh berkomunikasi secara bebas tetapi mereka harus berwaspada kerana apa sahaja yang mereka boleh kongsi boleh juga menguris perasaan dan sensitiviti orang lain.

Misalnya, beliau berkata pengguna internet perlu mengelak daripada menyebarkan isu berkaitan dengan agama yang boleh mendorong kepada insiden keganasan seperti serangan terhadap majalah mingguan bercorak sindiran di Perancis, Charlie Hebdo, awal tahun ini.

Justeru, Dr Mahathir menasihatkan pengguna internet supaya hanya berkongsi maklumat berfaedah dan tidak menyalahgunakan medium itu untuk menyakitkan hati orang lain.

Advertisements