PRK Rompin: Calon Barisan Nasional Beri Jaminan Akan Membela Hak Orang Asli

ROMPIN, 25 April – Golongan Orang Asli tidak akan dilupakan, dengan tumpuan akan diberikan kepada pembangunan pendidikan serta sosio-ekonomi dalam usaha membantu masyarakat itu, kata calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin, Datuk Hasan Ariffin.

image

Beliau memberi jaminan pembangunan itu akan melibatkan tiga Rancangan Penempatan Semula Orang Asli (RPS) iaitu Bukit Serok, Kedaik dan Buluh Nipis di daerah ini.

“Kita berusaha untuk meningkatkan pendidikan dan taraf pembangunan sosio-ekonomi Orang Asli.

“Sebenarnya dalam negara kita tak ada daerah yang paling bernasib baik seperti Rompin. Kerana ada tiga RPS iaitu Bukit Serok, Kedaik dan Buluh Nipis yang mana Orang ASli kita kumpulkan, kita buat rumah dan kita beri ladang sebagai asas ekonomi mereka,” ujarnya selepas menghadiri Persidangan Umno Cawangan Selendang 1, di sini, petang semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas rancangan pembangunan untuk golongan berkenaan sekiranya dipilih untuk berkhidmat di parlimen ini.

Selain itu Hasan berkata, isu bekalan air bersih untuk golongan berkenaan juga akan diatasi, dengan kerajaan telah melantik satu syarikat baharu yang melaksanakan bekalan air melalui sistem solar di kawasan penempatan masyarakat Orang Asli.

“Saya dimaklumkan projek itu telah siap sebanyak 70 peratus dan bila siap pada dasarnya semua Orang Asli di luar bandar akan memiliki bekalan yang sempurna,” ujar bekas ADUN Bukit Ibam ini.

Parlimen Rompin mempunyai 53,924 pemilih berdaftar dengan 1,300 pengundi Cina, 621 pengundi India dan lebih 7,000 pengundi Orang Asli.