PAS Harap Hudud Dibentang Pada Dewan Rakyat

KOTA BHARU, 8 May – Pas berharap rang undang-undang persendirian berkaitan hudud akan dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat yang dijangka bermula 18 Mei ini.

image

Timbalan Mursyidul Am Pas Datuk Ahmad Yakob berkata bagaimanapun beliau tidak mengetahui status terkini sama ada petisyen berhubung pembentangan rang undang-undang berkenaan telah diserahkan oleh Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk diteliti oleh Parlimen.

“Itu terpulang kepada Presiden Pas. Mungkin ‘private bill’ itu sudah dihantar. Bagi saya, kita mahu ‘private bill’ itu dikemukakan pada (persidangan Dewan Rakyat) Mei atau Jun ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Amal Anak Muda Kelate 2015 di Lembah Sireh di sini, hari ini.

Abdul Hadi yang juga anggota Parlimen Marang sebelum ini mengemukakan notis bagi pembentangan usul berkenaan di Dewan Rakyat pada 18 Mac lepas yang akan membolehkan beliau membentangkan rang undang-undang untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 bagi membuka laluan pelaksanaan Hudud di Kelantan.

Rang undang-undang persendirian itu telah dimasukkan sebagai perkara terakhir (No.24) untuk dikemukakan kepada mesyuarat pada 7 April lepas namun tidak sempat dibentang untuk perbahasan sehingga Dewan Rakyat ditangguhkan pada 9 April.

Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan meluluskan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015), atau Hudud pada 19 Mac selepas disokong oleh 44 Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) termasuk 12 Adun daripada Barisan Nasional (BN).

Mengulas mengenai hubungan antara Pas dan PKR dalam pakatan pembangkang yang dilihat goyah sejak akhir-akhir ini akibat perbezaan pendapat mengenai pelaksanaan Hudud di Kelantan, Menteri Besar Kelantan itu berkata Pas masih bersama PKR dalam Pakatan.

“(Hubungan Pas dan PKR masih) biasa, (Pas) masih dalam pakatan… cuma kita usaha lebih (untuk memperbaiki hubungan) selepas ini,” katanya.