UMNO Perlu Ubah Gaya Berkempen Pada Masa Akan Datang – Prof Madya Datuk Dr Mohamad Agus Yusoff

SHAH ALAM, 8 May – Gaya kempen pilihan raya Umno perlu diubah pada masa-masa akan datang, kata penganalisis politik, Prof Madya Datuk Dr Mohamad Agus Yusoff.

image

Ujarnya Umno perlu membawa politik baru dan lebih segar jika ingin terus relevan dan sekaligus menjadikan parti tersebut sebagai pilihan rakyat pada masa akan datang.

“Ini kerana pendekatan kempen Umno tidak menjadi. Banyak klisenya yang terlalu panjang untuk dikupas di sini.

“Maka, apa pengajaran untuk Umno? Gaya kempen pemimpin Umno perlu berubah. Pemasaran dan produk politik Umno perlu berubah. Rakyat di mana pun mahukan satu hidangan menu yang lebih segar,” ujarnya melalui laman Facebooknya.

Agus kemudiannya mengulangi penegasannya sebelum ini bahawa isu cukai barangan dan perkhidmatan (GST) benar-benar menaikkan kemarahan rakyat terhadap kerajaan Persekutuan.

Pensyarah kanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu sebelum ini berkali-kali menulis di laman Facebooknya perihal kesan GST pada pilihan raya kecil (PRK) Rompin dan Permatang Pauh yang berlangung pada 5 Mei (Selasa) dan 7 Mei (Khamis) lalu.

Beliau juga meminta agar Umno tidak menyentuh isu GST dalam kempennya kerana sentimen rakyat ketika ini masih tidak dapat menerima pelaksanaan cukai itu dalam kehidupan mereka, kini.

“Mengapa Umno tewas? Isu utamanya ialah protes rakyat kepada pelaksanaan GST dan beberapa masalah ekonomi yang dihadapi negara sekarang,” ujarnya lagi.

PRK Permatang Pauh yang berakhir semalam menyaksikan PKR berjaya mempertahankan kerusi Parlimen itu dengan memperolehi 30,316 undi, mengatasi Umno mendapat 21,475 undi sahaja.

Sementara PRK Rompin menyaksikan Umno berjaya mengekalkan kerusi Parlimen itu dengan memperoleh 23,796 undi manakala PAS memperolehi 14,901 undi.

Advertisements