Kerajaan P.Pinang Disaran Selesai Tempat Letak Kereta

GEORGE TOWN, 12 Mei – Kerajaan negeri digesa supaya menyelesaikan masalah kekurangan tempat letak kereta yang mendatangkan kesesakan serius.

image

Yeoh Soo Hin (DAP-Paya Terubong) berkata masalah kesesakan lalu lintas berpunca daripada bas kilang dan kenderaan lain yang sering diparkir di tepi jalan.

“Masalah kesesakan lalu lintas memang serius terutama di kawasan Relau. Saya berpendapat perkara yang sama berlaku di kawasan lain. Saya memang banyak menerima e-mel daripada penduduk dan gambar kereta yang diparkir di tepi jalan.

“Masalah parking tanpa izin khususnya di tepi jalan mendatangkan masalah kesesakan lalu lintas. Isu mengenai bas-bas kilang yang diparkir di tepi jalan patut diambil tindakan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP),” katanya ketika membahas ucapan Yang Dipertua Negeri.

Beliau berkata MBPP seharusnya mempunyai bidang kuasa untuk mengambil tindakan terhadap pemandu bas kilang yang meletakkan kenderaan mereka sesuka hati sehingga mendatangkan kesesakan lalu lintas.

Yeoh turut mencadangkan kerajaan negeri untuk melantik seorang exco yang bertanggungjawab menyelesaikan masalah tempat letak kereta.

Dalam pada itu, beliau menyambut baik cadangan pembinaan bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang baharu bagi menampung pertambahan jumlah kawasan DUN.

Beliau berkata perkara itu perlu mendapat perhatian dan pertimbangan sewajarnya oleh kerajaan negeri dengan mencari lokasi bersesuaian bagi menggantikan lokasi sedia ada.

“Saya memberi sokongan terhadap pembinaan bangunan baharu ini. Saya berharap kerajaan negeri dapat membuat satu kajian yang teliti, dapat mencari lokasi sesuai. Bangunan DUN sedia ada pula haruslah dikekalkan menjadi muzium untuk dikunjungi orang awam,” katanya.

Advertisements