Najib Razak Laung Komitmen Terus Berkhidmat Untuk Rakyat

KUALA LUMPUR, 12 Mei – Datuk Seri Najib Tun Razak melaungkan komitmen untuk terus berkhidmat kepada rakyat yang menjadi dorongan kepadanya selama 40 tahun mengabdikan diri dalam politik.

image

Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO itu berkata beliau akan meneruskan semua dasar yang dilaksana bagi membantu rakyat walaupun ada antaranya disifatkan tidak popular.

Namun beliau yakin ia akan memberi kesan positif kepada rakyat dan negara pada jangka panjang.

“Bila saya mengambil alih kepimpinan negara, saya telah memilih slogan ‘1Malaysia – Rakyat Didahulukan (Pencapaian Diutamakan) dan saya mesti mengingatkan diri saya bahawa rakyat mesti didahulukan.

“Apabila rakyat senang dengan parti kita dan kerajaan, apabila program kita sampai kepada rakyat … dalam apa jua keadaan, perjuangan saya adalah untuk mereka yang mahukan Malaysia maju dan adil,” katanya ketika berucap pada sambutan ulang tahun ke-69 UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam ini.

Turut hadir isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Presiden UMNO bersama-sama kira-kira 3,000 pemimpin dan anggota UMNO.

Najib menjelaskan bahawa antara matlamat perjuangannya adalah untuk menjaga kebajikan rakyat seperti menyediakan rumah mampu milik, merapatkan jurang pendapatan, mewujudkan peluang pekerjaan dan menangani kos sara hidup rakyat.

Katanya, kejayaan UMNO juga bukan hanya bergantung kepada anggotanya sahaja malah rakyat secara keseluruhannya yang menilai setiap gerak geri dan keputusan yang dibuat parti itu.

“Ingatlah bahawa sebagai parti yang mengamalkan demokrasi pada akhirnya rakyatlah yang menentukan kita semua.

“Sambil saya sanjung tinggi lafaz sokongan anggota Majlis Tertinggi UMNO (kepada saya), saya sedar dengan segala rendah diri bahawa saya perlu memimpin sebuah parti yang mendapat sokongan yang kuat daripada rakyat Malaysia,” katanya.

Dalam ucapan itu, Najib menarik perhatian bahawa UMNO telah melalui pelbagai ujian getir sejak penubuhannya dan berjaya menghadapi semua ujian itu bukan sahaja atas kebijaksanaan pemimpin terdahulu tetapi juga sokongan kuat anggota parti kepada pemimpin pada masa itu.

Najib berkata sokongan kuat anggota parti kepada pemimpin masih relevan pada hari ini ketika parti berdepan persekitaran lebih mencabar dan menguji perjuangan parti.

“Umpamanya, penyebaran maklumat termasuk fitnah yang dahsyat melalui media sosial dan online memperlihatkan persekitaran baharu, persepsi yang lebih daripada realiti,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan situasi itu UMNO perlu menyesuaikan diri untuk survival masa kini dan akan datang.

Presiden UMNO itu turut mengingatkan anggota parti supaya bersatu dan sentiasa mendahulukan parti kerana dengan cara itu parti akan menjadi lebih kuat dan dapat meneruskan perjuangannya.

“Pemimpin datang dan pemimpin pergi tetapi kalau parti masih kuat perjuangan masih (dapat) diteruskan. Saya kata kuat parti mesti ada kuasa kerana kalau kita tidak ada kuasa ia tiada erti,” katanya.

Dalam pada itu, Najib menyifatkan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang berlangsung petang tadi sebagai yang terbaik pernah diadakan.

Katanya, walaupun pelbagai khabar angin dan adu domba mengenai hubungan dan perpaduan antara pimpinan parti itu, namun anggota MT telah mempamerkan kematangan dengan memberi sokongan terhadap Presiden dan Timbalan Presiden UMNO.

“Ini juga harapan saya, semoga kalau kita mempunyai barisan pemimpin yang serasi, percaya antara satu sama lain, ini akan menjadi isyarat jelas bahawa kalau di atas kukuh, di bawah pun akan padu dalam ikatan sempurna,” katanya.

Pada majlis itu, Najib turut menyampaikan anugerah Tokoh Melayu Terbilang 2015 kepada pemuzik dan pengubah lagu terkenal Datuk Dr Johari Salleh, 75, dan wanita pertama menjadi Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Negeri Sembilan iaitu dari 1959 hingga 1969 Datuk Siti Rahmah Kassim, 89.

Johari, bekas pengarah muzik Radio Televisyen Malaysia (RTM) merupakan pencipta lagu UMNO ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’.

Siti Rahmah, yang dilahirkan di Kampung Batu Hampar, Rembau, sinonim dengan gelaran ‘Gelang Kemerdekaan. – Bernama