Prosiding PAC Buktikan ‘Tiada Apa Yang Disembunyikan Kerajaan’ – Penganalisis

SHAH ALAM, 12 May – Langkah Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang akan memulakan prosiding siasatan terhadap syarikat 1 Malaysia Development Berhad (1MDB), tidak lama lagi, membuktikan bahawa ‘tiada apa yang disembunyikan kerajaan daripada pengetahuan rakyat’.

image

Menurut penganalisis politik, Edwin Michael Muniandy, walaupun ‘kemarahan’ rakyat masih memuncak, namun dengan penyiasatan oleh jawatankuasa bebas itu sedikit sebanyak mampu menghentikan spekulasi berpanjangan berhubung isu berkenaan.

“Soalnya bila semua ini akan selesai dan menjadi penyudah kepada isu 1MDB. Sebab kita rasa makin lama isu ini diheret makin banyak spekulasi, sehinggakan semua kelihatan rumit.

“Jadi satu-satunya kemungkinan solusi alternatif yang ada sekarang adalah PAC. Dan kita harap PAC akan buat dengan cepat dan datang dengan satu penyiasatan untuk hentikan semua spekulasi berkenaan 1MDB,” katanya.

Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed dalam kenyataannya hari ini berkata pihaknya akan memulakan prosiding terhadap syarikat pelaburan strategik milik Kementerian Kewangan itu, pada 19 Mei ini.

Kata Nur Jazlan, PAC akan memanggil Ketua Setiausaha Perbendaharaan (MOF), Tan Sri Irwan Serigar Abdullah dan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negara (EPU) Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Rahmat Bivi Abdullah dalam prosiding siasatan itu pada 19 Mei ini.

Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB ketika ini, Arul Kanda Kandasamy serta mantan CEO 1MDB pertama, Datuk Shahrul Ibrahim Halmi yang berkhidmat sejak Mac 2009 hingga Mac 2013 akan turut dipanggil pada 26 Mei depan.

Mengulas lanjut, Edwin sedikit kesal kerana menurutnya, PAC seharusnya ke hadapan lebih awal pada waktu isu berkenaan mula diperkatakan bagi membuktikan jawatankuasa itu dan kerajaan bersifat progresif dan transparen.

Beliau walaubagaimanapun berkata, walaupun tindakan PAC itu boleh disifatkan sedikit lewat, namun ia tetap perlu disambut baik kerana kerajaan sedaya upaya cuba menangani isu berkenaan.

Berhubung penyiasatan berkenaan yang dikhuatiri cenderung untuk ‘berat sebelah’, Edwin yang juga pensyarah Universiti Tun Abdul Razak berkata, kemungkinan tersebut tidak berasas kerana anggota jawatankuasa itu turut terdiri daripada kalangan ahli parlimen pembangkang.

“Ini memberi peluang kepada mereka untuk turut serta dalam penyiasatan ini dan tak ada ruang kerajaan nak memanipulasi keputusan PAC atau sebagainya

“Benda ini dah meleret lama, kalau PAC boleh selesaikan dengan cepat, ia bagus untuk semua orang khususnya kerajaan kerana boleh fokus semula kepada agenda rakyat. Sekarang ini semua caca merba kerana Datuk Seri Najib kena jawab sana sini,” ujar beliau.

Advertisements