Sila Halang Hudud Di Parlimen Bukan Di Mahkamah – MB Kelantan

KUALA LUMPUR, 12 May – PAS Kelantan memberi peringatan kepada mana-mana pihak yang berhasrat menggagalkan usaha pelaksanaan undang-undang Islam di negeri itu agar menggunakan saluran Parlimen untuk menolak Enakmen Kanun Jenayah Syariah 11 1993 (Pindaan 2015) bukan membawanya ke mahkamah.

image

Gesaan itu dibuat Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob susulan tindakan parti Gerakan memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan untuk mencabar kesahihan Enakmen Kanun Jenayah Syariah 11 1993 (Pindaan 2015) atau hudud pada Jumaat lalu.

Tegas beliau, memandangkan PAS akan membawa Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian untuk meminta Parlimen meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 pada persidangan Dewan Rakyat akan datang adalah tidak wajar sekiranya ada pihak yang mencabar kesahihan enakmen tersebut.

“Ya, nanti kita bawa ke sana (Parlimen) sebab 355 pindaan kepada 355 yang kita cuba nak dapatkan itu.

“Di situ undang-undang sudah ada diberikan cuma nak perluaskan sahaja, kalau dia ada nak bantah apa-apa itu di Parlimenlah,” katanya.

Pada Jumaat lalu, Gerakan telah memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk mencabar kesahihan Enakmen Kanun Jenayah Syariah 11 1993 (Pindaan 2015) atau lebih dikenali sebagai hudud di bawah perlembagaan.

Dalam notis usul itu, Gerakan meminta Mahkamah Persekutuan memberi kebenaran kepada parti itu untuk membawa kes itu ke Mahkamah Persekutuan bagi membincangkan dan memutuskan persoalan undang-undang sama ada Dun Kelantan mempunyai bidang kuasa menggubal Kanun Jenayah Syariah II (Pindaan 2015).

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kota Baharu telah menolak saman pemula difailkan parti Gerakan terhadap kerajaan negeri Kelantan berhubung Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015).

PAS harap diberi laluan laksanakan undang-undang hudud.

Ahmad menambah sokongan diberikan oleh ahli Parlimen yang beragama Islam dalam perkara itu bertambah dan menganggap penerimaan terhadap hukum berkaitan Islam semakin baik berbanding dahulu.

Justeru Timbalan Mursyidul Am PAS ini berharap usaha tersebut akan membuahkan hasil untuk meminda Akta 355 yang disifatkan beliau perlu diperluaskan terutamanya dari aspek bidang kuasa.

“Sebab pindaan 355 itu boleh tidak terhad kesalahan yang boleh merotan saja.

“Jadi maknanya kalau kita diberi laluan dengan majoriti mudah kita dapat laksanakanlah,” katanya.

Ujar Ahmad lagi, sekiranya ada pihak terutamanya parti politik yang mahu membantah usaha PAS tindakan sewajarnya melalui saluran Parlimen.

“Kalau itu sudah ada yang bantah, itu saja…jadi kalau dia nak halang pun gunakanlah Parlimen,” katanya.

Pada 18 Mac lalu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga Ahli Parlimen Marang itu memasukkan satu usul bagi membawa Rang Undang-Undang Persendirian untuk meminta Parlimen meminda Akta 355.

Pindaan berkenaan dicadangkan bagi membuka laluan kepada pelaksanaan Rang Undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) diluluskan Dun Kelantan 19 Mac lalu.

Kini, cabaran seterusnya bagi PAS adalah untuk mendapatkan sokongan sekurang-kurangnya 112 ahli Parlimen pada sidang akan datang iaitu pada 18 Mei depan bagi membolehkan Rang Undang-undang Persendirian tersebut diluluskan di Dewan Rakyat.

Memandangkan PAS hanya mempunyai 21 Ahli Parlimen, parti itu terpaksa mengharapkan sokongan Ahli-ahli Parlimen beragama Islam yang mewakili parti lain termasuk daripada Umno dan PKR.