Tolak Cerita Dan Rekaan Pihak Tertentu Yang Mahu UMNO Berpecah – Najib Razak

KUALA LUMPUR, 12 May – Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa ahli Umno untuk menolak ‘cerita dan rekaan’ pihak tertentu yang mahu meracuni hubungan antara pemimpin parti semata-mata inginkan Umno berpecah.

image

“Di luar macam-macam cerita dan rekaan ditabur untuk lihat kita berpecah dan racuni pemikiran kalangan pemimpin.

“Mereka semua bukan orang yang mencintai parti,” kata Presiden Umno dan Perdana Menteri.

Berucap kepada pemimpin pelbagai peringkat Umno sempena sambutan ulang tahun ke-69 parti itu, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Najib menegaskan ahli-ahli Umno semuanya matang dan mahu melihat pucuk pimpinan Umno khususnya beliau dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin senada dalam menguruskan Umno.

“Kalau kita barisan pemimpin yang serasi dan percaya maka sudah tentu ini isyarat jelas bahawa, kalau asas pokok itu kuat maka ikatannya sempurna,” kata beliau lagi.

Dalam ucapan itu Najib tidak merujuk secara langsung kepada kritikan yang dilemparkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap beliau mengenai isu 1 Malaysian Development Berhad (1MDB) setelah ia dikupas panjang lebar pada mesyuarat Majlis Tertinggi Umno selama tiga jam, petang tadi.

Bagaimanapun Najib menegaskan keperluan untuk ahli Umno untuk menolak fitnah dan sentiasa mengutamakan negara.

“Fitnah yang meluaskan menyebabkn persepsi lebih penting daripada realiti. Walau apa jua perubahan Umno mesti menyesuaikan diri dan menjadi parti yang relevan pada masa kini dan akan datang,” tegas beliau.

Susulan mesyuarat MT sebelum itu, Najib menegaskan hubungan dengan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak sesekali dapat dipecahbelahkan.

“Kita akan selalu bincang hati ke hati untuk pastikan bahawa kepimpinan Umno di peringkat pucuk pimpinan berada pada keadaan selesa dan kukuh supaya tiada pihak cuba memecahbelahkan kita, terutama sekali saya dengan timbalan presiden,” katanya.

“Jadi kalau ada apa-apa berita khabar angin yang tersebar sebelum mesyuarat ini maka kecewalah mereka yang menyebar berita-berita palsu tersebut,” katanya.

Najib dipercayai merujuk kepada laporan-laporan yang memetik mantan menteri penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin bahawa keseluruhannya anggota MT bersetuju Najib telah kehilangan mandat Umno.