Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS Sifatkan Lim Kit Siang Tidak Profesional

SHAH ALAM, 13 May – Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS Datuk Nik Zawawi Nik Salleh menyifatkan tindakan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang memberi ceramah mengenai penolakan hudud di hadapan rakyat Kelantan di Padang Perdana minggu lalu sebagai tidak profesional.

image

Katanya, beliau menghormati pendirian DAP yang masih tidak boleh menerima pelaksanaan hukuman hudud namun adalah tidak wajar untuk parti yang didominasi kaum Cina itu mencampuri dasar PAS.

“Nak tolak atau tak itu masalah parti dia (DAP) dan pelaksanaan hudud di Kelantan ni kita laksana kerana perintah daripada Allah bukan kerana isu politik.

“Tindakan daripada DAP yang cuba menganggu dasar parti PAS merupakan tindakan tidak profesional kerana kita pun tidak pernah mengkritik dasar DAP. Kalau kita nak mengkritik tu banyak,” katanya.

Seperti yang difahamkan Kit Siang hadir memberikan ceramah atas jemputan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu kepada rakyat Kelantan untuk menolak pelaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II yang akan dibawa ke Parlimen.

Beliau mengambil contoh Jordan dan Mesir yang mempunyai lebih 90 peratus penduduk beragama Islam namun sehingga kini tidak melaksanakan undang-undang Islam.

Katanya, Malaysia terdapat kira-kira 95 peratus lebih tiga peratus berbanding dua negara itu.

Beliau berkata, sebagai sebuah negara yang mempunyai pelbagai kaum, beliau mengingatkan semua parti yang berada dalam pakatan pembangkang supaya berpegang kepada janji asas yang sudah dipersetujui bersama.

Ketika ditanya mengenai pendirian ulama berhubung Kit Siang mendapat jemputan pemimpin PAS sendiri, walau bagaimanapun Nik Zawawi enggan mengulas perkara itu.

“Saya tak pasti itu, tak boleh nak komen sebab benda tu urusan negeri Kelantan. Kena tanya orang (pemimpin) Kelantan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau menyatakan keyakinan bahawa pemikiran rakyat Kelantan tidak akan terjejas dengan ceramah tersebut.

“Tak, rakyat di Kelantan tak akan keliru, tak ada masalah insyaAllah. Cuma ada beberapa individu yang sedia keliru ni, yang sudah lama keliru adalah dua tiga orang,” jelas beliau.

Advertisements