Pendirian Hadi Terhadap Desakan Najib Untuk Letak Jawatan

Naib Presiden PKR, Tian Chua, menganggap jika Datuk Seri Najib Razak enggan melepaskan jawatan perdana menteri meskipun ditekan oleh pelbagai pihak, itu adalah satu “bonus politik” pada Pakatan Rakyat.

image

“Bagi pembangkang, ini satu strategi yang baik jika Najib terus kekal sehingga pilihanraya umum (PRU) akan datang kerana ia beri banyak keuntungan kepada kita.

“Kita ada banyak peluru untuk digunakan nanti,” katanya ketika mengulas kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menggesa semua pihak perlu memberi Najib peluang untuk melaksanakan tanggungjawabnya sebagai perdana menteri.

Jalur pemikiran Tian Chua sama dengan logik mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa jika Najib tidak melepaskan jawatan sebagai perdana menteri, Umno dan Barisan Nasional akan kecundang dalam PRU ke-14 kelak.

Soal bacaan politik Mahathir tepat atau tidak kita cuma boleh diketahui selepas PRU ke 14 nanti. Justeru jika Tian Chua merumuskan kalau Najib tidak mahu berundur, Umno dan BN akan tumpas, itu adalah logik yang beliau kongsi dengan Mahathir.

Namun yang lebih menarik ditekuni ialah, adakah kenyataan Haji Hadi yang menggesa usah diganggu-gugat Najib melaksanakan tugasnya sebagai perdana menteri itu ikhlas atau didorong oleh motif lain?

Maksudnya, adakah hasrat Hadi sebenarnya memang sebahagian daripada jerangkap politik Pakatan Rakyat?

Adakah langkah Hadi itu satu strategi Pakatan Rakyat atau ia hanya imaginasi Tian Chua sendiri bahawa Umno-BN Najib ada banyak bagasi politiknya – malapetaka GST, skandal 1MDB dan isu Tabung Haji?

Jika ini strategi Pakatan Rakyat, adakah Tian Chua sudah tersasul dan mendedahkan siasah mereka?

Jika benar demikian, adakah ini bermakna perbezaan pendapat dan perbalahan PAS-PKR dan PAS-DAP mengenai isu Menteri Besar Selangor, Langkah Kajang dan pelaksanaan hukum hudud sebenarnya adalah wayang kulit politik sahaja?

Jika ia satu opera politik mengapakah Hadi sanggup menelan sahaja sindiran, ejekan malah cemuhan DAP bahawa beliau seorang pemimpin Islam yang tiada maruah dan tidak boleh dipercayai?

Adakah Hadi rela diperlakukan demikian hanya untuk memerangkap Najib supaya bekeras menolak bisikan, sindiran dan protes yang mendesak beliau meletakkan jawatan dan akhirnya memperjudikan masa depan Umno-BN?

Jika Najib teruja dengan “sokongan” Hadi ini dan terus berpaut pada kerusi Perdana Menteri, adakah sebenarnya ini akan meningkat darjah kebencian rakyat dan partinya serta BN terhadap mutu kepemimpinannya?

Bagaimanapun rekod politik Hadi menunjukkan beliau bukanlah jenis pemimpin yang menggunakan taktik mencari kekuatan di atas keburukan dan kelemahan peribadi pihak lawan.

Beliau adalah ulama. Beliau ada hujah dan sebab tidak merestui Anwar Ibrahim diwarwarkan menjadi perdana menteri jika Pakatan Rakyat menang PRU ke 13 dua tahun lalu. Bagaimanapun hemah dan adab tidak mengizinkan beliau menghebahkannya pada umum.

Demi memelihara tahaluf siyasi dengan PKR dan DAP beliau juga tidak membuat kritikan terbuka terhadap percaturan Langkah Kajang PKR tahun lalu meskipun beliau jelas tidak mahu sistem demokrasi dipermainkan.

Demi prinsip, beliau secara terbuka menyatakan tidak bersetuju komplot politik PKR ke atas Menteri Besar Selangor ketika itu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk “memaksanya” meletak jawatan.

Hujah Hadi adalah paling jelas dan demokratik. Pertama, Khalid mempunyai rekod cemerlang mentadbir Selangor. Kedua, Hadi jelas tidak menyokong politik memfitnah dan menjaja keburukan orang lain seperti yang dihebahkan PKR.

Kini dalam kes Najib, seteru utama Pakatan Rakyat, Hadi mempamerkan pendirian yang konsisten. Seperti tidak menyokong cara PKR menjatuhkan Khalid, beliau menggesa usah jatuhkan Najib menggunakan taktik yang sama.

Pemilihan Khalid sebagai menteri besar dilakukan menurut lunas demokrasi, begitu juga penetapan Najib sebagai perdana menteri. Hadi tidak mahu terbabit cara curang untuk meruntuhkan amalan demokrasi.

Hadi pernah mengatakan andainya benar ramalan beberapa pihak jika Pakatan Rakyat menang PRU lalu, beliau lebih wajar dilantik menjadi perdana menteri, kemungkinan itu memang tidak dinafikannya memang menyeronokkan.

Bagaimanapun, tegasnya, jika kemungkinan itu tidak berlaku, beliau tidak akan terkilan untuk bersara, malah lebih senang untuk “menjadi nelayan” sahaja.

Yang penting baginya ialah dunia politik Malaysia harus mempunyai adab sopannya. Nilai dan semangat demokrasi harus dijunjung. Matlamat utama politik baginya ialah untuk menegakkan sistem politik yang luhur dan bersih.

Benar bak kata bijak pandai, seorang negarawan sentiasa mengutamakan generasi akan datang, tetapi seorang politikus sentiasa memikirkan bila pilihanraya umum akan tiba.

Advertisements