Ahli UMNO Perlu Fokus Dan Elak Masuk Perangkap Lawan

KUALA LUMPUR 15 Mei – Ahli UMNO perlu fokus ke depan dan mengelakkan diri daripada terjebak dengan jerangkap samar pembangkang dalam usaha mengukuhkan lagi parti dengan berpaksikan kepada solidariti.

image

Ketua Penerangan UMNO Johor, Datuk Samsolbari Jamali berkata dengan langkah berkenaan apa jua yang mendatang dan apa jua jerangkap samar yang menunggu sudah pasti akan dapat diatasi dengan jayanya.

Menurut beliau tidak ada gunanya menoleh ke belakang sebaliknya terus maju ke depan membawa bersama solidariti untuk parti kerana itulah ramuan terbaik bukan sahaja untuk mengukuhkan UMNO malah demi kepentingan dan kekuatan Barisan Nasional (BN) itu sendiri.

“Kita melihatnya begitu… hari ini kita perlu fokus ke depan dan jangan sesekali lagi toleh ke belakang kerana apa yang penting adalah gerak kerja kita serta permuafakatan di dalam parti.

“Pihak lawan sentiasa memerhatikan kita malah mereka sentiasa menunggu ruang untuk masuk dengan pelbagai perangkap dan sebagainya. Sebab itulah apa yang penting jangan sesekali mudah terperangkap dengan perkara sedemikian rupa.

“Kata kuncinya sudah pasti berbalik kepada solidariti… tumpuan dan hala tuju kita adalah sama. Fokus kita juga sudah tentu sama. Jadi berpegang eratlah kepada kata kunci berkenaan kerana apa jua perangkap dan apa jua yang timbul tidak mampu menggugat parti,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Samsol yang juga ketua UMNO Ayer Hitam seterusnya menambah UMNO menjadi tumpuan kepada masyarakat umum.

“Yang berlalu biarkan terus berlalu. Sebagai parti yang bertanggungjawab, tumpuan kita adalah untuk melaksanakan tugas serta tanggungjawab kepada rakyat adalah yang utama. Penekanan kepada soal berkenaan cukup penting.

“Sejajar dengan ulang tahun UMNO ke-69 yang baru disambut beberapa hari yang lalu, marilah kita sama-sama kekalkan muafakat dan elakkan daripada terperangkap dengan mainan politik yang boleh menjejaskan parti. Fokus ke depan bersama misi parti,“ ujarnya.

Advertisements