Ekonomi Malaysia Berkembang 5.6 Peratus Bagi Suku Pertama 2015

KUALA LUMPUR, 15 May – Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 5.6 peratus pada suku pertama 2015, dengan sektor swasta terus menjadi pendorong utama pertumbuhan, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz pada Jumaat.

image

Beliau berkata ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan dengan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM277.2 bilion pada suku dalam kajian.

Malaysia mencatatkan pertumbuhan KDNK sebanyak 5.7 peratus pada suku akhir tahun lepas dan pertumbuhan 6.2 peratus bagi Januari-Mac 2014.

“Penggunaan swasta berkembang pada kadar lebih kukuh sebanyak 8.8 peratus (pada suku pertama 2015) berbanding pertumbuhan 7.6 peratus yang dicatatkan pada suku keempat 2014, disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang stabil dan pertumbuhan upah lebih tinggi,” katanya pada sidang akhbar mengumumkan perkembangan ekonomi dan kewangan negara di sini.

Zeti berkata pertumbuhan penggunaan swasta yang kukuh juga disumbang oleh usaha bantuan banjir pada awal tahun dan perbelanjaan isi rumah yang dipercepat sebelum pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Mengenai pelaburan swasta, beliau berkata ia mencatatkan pertumbuhan sebanyak 11.7 peratus (suku keempat 2014: 11.1 peratus), disokong oleh perbelanjaan modal sektor perkilangan dan perkhidmatan.

Sementara itu, pelaburan awam kembali pulih untuk mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 0.5 peratus (suku keempat 2014: -1.9 peratus) berikutan perbelanjaan modal yang lebih tinggi oleh Kerajaan Persekutuan dan perusahaan awam, kata Zeti.

Inflasi, seperti yang diukur oleh perubahan tahunan dalam Indeks Harga Pengguna (IHP), mencatat kadar purata yang jauh lebih rendah pada 0.7 peratus pada suku pertama (suku keempat 2014: 2.8 peratus), disebabkan terutamanya oleh penurunan harga dalam kategori pengangkutan berikutan semakan ke bawah harga bahan api dalam negeri pada setelah harga minyak dunia turun.

Lebihan dagangan, kata Zeti, berjumlah RM21.3 bilion pada suku pertama 2015 manakala rizab antarabangsa BNM sebanyak RM389.7 bilion pada 31 Mac 2015.

KDNK Malaysia kini diasaskan semula pada 2010 sebagai tahun asas, kata Gabenor, proses berkala yang dirancang dan selaras dengan amalan terbaik antarabangsa.

Mengikut harga 2010, KDNK Malaysia bagi suku pertama mencatatkan nilai sebanyak RM254.4 bilion, dan bagi pelarasan musim bagi perbandingan suku tahunan, ekonomi berkembang pada 1.2 peratus. – Bernama

Advertisements