Kehidupan Pelarian Rohingya Di Malaysia

Pelarian lazimnya dikaitkan dengan konflik yang berlaku dalam kehidupan mereka seperti pencabulan hak asasi manusia, penganiayaan dan perang saudara yang dilakukan oleh pihak pemerintah.

image

Mangsa daripada konflik ini terpaksa membuat keputusan untuk melarikan diri dari negara asal demi keselamatan diri dan juga keluarga.

Kadang kala pergerakan ini bersifat sementara sahaja kerana apabila konflik yang berlaku di negara asal telah reda, mereka boleh pulang kembali disebabkan keadaan di sana tidak lagi berada dalam keadaan yang membahayakan.

Namun begitu, yang menjadi masalah bagi golongan pelarian ini adalah apabila konflik yang  berlaku di negara asal masih tidak reda sedangkan ia telah berlaku sejak sekian lama.

Keadaan yang tidak menjaminkan keselamatan itu menyebabkan mereka tidak dapat pulang dan ini akan memberi kesan terhadap kehidupan pelarian dari segi mental serta persekitaran kehidupan mereka.

Hal ini kerana mereka berkemungkinan tidak mahu pulang lagi ke negara asal disebabkan beberapa faktor seperti telah terputus hubungan dengan keluarga asal di sana, lahir di negara yang menjadi destinasi mereka dan telah menyesuaikan diri dengan keadaan di tempat baru kerana sudah terbiasa dengan budaya dan cara hidup masyarakat tempatan.

Di samping itu, mereka telah menemui sebuah kehidupan yang lebih baik di negara baru berbanding kehidupan di negara asal yang begitu daif dan susah dan ini juga menyebabkan mereka tidak mahu pulang ke negara asal.

Individu atau golongan yang menjadi pelarian disebabkan berlakunya masalah di dalam negara seperti konflik atau berlakunya bencana alam.

Mereka menjadi pelarian dan lari ke kawasan baru atau negara asing dengan harapan menemui sebuah kehidupan yang lebih baik dan selamat.

Tetapi, tidak selalu matlamat yang diharapkan menjadi kenyataan dalam hidup mereka. Hal ini kerana lazimnya golongan pelarian masih berada dalam kesusahan walaupun berada di negara asing dan ini menyebabkan kehidupan mereka akan terus menerus berada dalam kepayahan dan penderitaan.

Sebelum memulakan perbincangan mengenai masalah pelarian di Malaysia, takrifan dan definisi mengenai pelarian haruslah difahami terlebih dahulu supaya golongan ini dapat dikenalpasti dari segi faktor-faktor yang menyebabkan mereka digelar pelarian serta perbezaan mereka dengan golongan imigran atau pendatang.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) melalui United Nations High Commission for Refugees (UNHCR) memberi takrifan bahawa golongan yang boleh dianggap sebagai pelarian adalah seseorang individu atau kumpulan yang terpaksa meninggalkan negara asal mereka.

Ini merujuk kepada keadaan seperti kemiskinan dan kepayahan hidup kesan daripada pencabulan hak asasi manusia, konflik dengan pemerintah dan perang saudara yang berlaku dalam negara mereka.

Oleh itu UNHCR hanya mengiktiraf golongan yang terpaksa lari akibat kepayahan hidup ini layak diberi taraf pelarian dan perlu diberikan perlindungan berbanding golongan imigran yang bersifat ekonomi semata-mata.

Artikel 1 dalam Konvensyen 1951 berkaitan Orang Pelarian dan Protokol 1967 memberi definisi mengenai pelarian di mana pelarian merupakan “individu atau sesebuah kumpuan yang berada di luar negara kerakyatannya atas sebab-sebab yang munasabah, berasa takut jika dianiaya oleh pihak berkuasa atas alasan-alasan seperti  perkauman, keagamaan, kewarganegaraan, keahlian dalam sesebuah kumpulan sosial atau parti politik dan kerana rasa ketakutan yang sedemikian, dia tidak boleh atau tidak mahu untuk mendapatkan perlindungan dari negara asalnya itu.”

Selain Konvensyen 1951 dan Protokol 1967 yang mendefinisikan terma pelarian secara umum dan luas, terdapat  beberapa organisasi lain yang memberikan terma pelarian yang lebih berfokus berdasarkan situasi di dalam sesebuah wilayah yang dilanda masalah pelarian iaitu oleh Organization for African Unity Convention (OAU) atau Organisasi Perpaduan bagi Masyarakat Afrika pada tahun 1969 dan juga Deklarasi Cartagena 1984 yang diadakan di Amerika Latin.

Menurut OAU, seseorang hendaklah dianggap sebagai pelarian jika dirinya berada dalam keadaan yang telah dinyatakan di atas walaupun tidak mengalami perasaan takut kesan daripada penganiayaan.

Definisi-definisi ini adalah berdasarkan prinsip di mana perlunya perlindungan antarabangsa akibat sesebuah negara gagal melunaskan prinsip perlindungan sama ada enggan atau tidak mampu menyediakan perlindungan bagi rakyatnya akibat berlaku peperangan saudara atau pencerobohan kuasa asing.

Manakala Deklarasi Cartagena 1984 adalah untuk memanjangkan lagi definisi pelarian dalam Konvensyen 1951 serta ia merupakan dokumen pertama yang diguna pakai di Amerika Latin bagi merujuk kes kehadiran pelarian yang ramai.

Walau bagaimanapun, di Asia pula terdapat pula Bangkok Principles yang telah dimeterai di bawah Asian-African Legal Consulative Organization (AALCO) pada tahun 1966 dan disemak semula pada tahun 2001.

Ini bertujuan memberikan definisi yang lebih berfokus kepada masalah pelarian yang melanda Asia dan Afrika dalam konsep yang lebih luas.

Ia juga boleh dianggap sebagai tambahan kepada Konvensyen 1951, OAU dan Deklarasi Cartagena dan hujahan tambahan mengenai pelaraian adalah “a person who have a well founded fear of persecution due to colour, ethnic origin and gender”.

Hujahan di atas jelas menunjukkan bahawa ia ditambah mengenai aspek ketakutan akibat daripada warna kulit, etnik asal dan jantina yang menyebabkan mereka dianiaya dan ini menyebabkan mereka terpaksa melarikan untuk menyelamatkan diri.

Kesemua konvensyen dan deklarasi antarabangsa di atas menunjukkan bahawa mereka yang terpaksa lari ke luar adalah bukannya dari kemahuan mereka sendiri sebaliknya dipengaruhi faktor-faktor luaran seperti perang, bencana alam, kekejaman pemerintah, diskriminasi dan sebagainya yang mempengaruhi mereka bertindak sedemikian.

Melalui lensa akademik, Bahrin dan Rachangan melihat pelarian merupakan isu politik kerana pergerakan mereka adalah melibatkan perjalanan sempadan politik sesebuah negara dan kadang-kala pergerakan mereka melebihi satu negara. Lazimnya mereka bergerak dalam keadaan yang sesak dengan jumlah yang banyak.

Shoesmith mentakrifkan pelarian sebagai “people who are involuntary and fairly abruptly obliged to quit their homes and seek asylum from economic and environmental as well as political calamities”.

Faktor-faktor yang memaksa mereka untuk melarikan diri bukan sahaja daripada isu ekonomi dan persekitaran, bahkan faktor utama yang menyumbang kepada terjadinya pelarian ini adalah disebabkan asal-usul situasi konflik yang berlaku itu sendiri.

Dari segi pentadbiran Kerajaan Persekutuan Malaysia, walaupun kerajaan tidak memberikan pengiktirafan kepada golongan pelarian yang lari ke sini, namun atas prinsip kemanusiaan dan belas ihsan, Kerajaan Persekutuan di bawah Pasukan Petugas Khas Persekutuan (PPKP) mempunyai takrifan yang tersendiri mengenai pelarian khusus untuk pelarian yang lari ke Sabah iaitu pelarian Filipina.

Oleh yang demikian, PPKP akan membantu mana-mana golongan “pelarian Islam Filipina yang lari Sabah atas sebab berlakunya kekacauan dan peperangan yang berlaku di Selatan Filipina bermula dari tahun 1972 hingga tahun 1984”.

Kerajaan negeri di bawah agensi Unit Penempatan Jabatan Ketua Menteri (UPJKM) memberikan takrifan terhadap golongan  pelarian di Sabah iaitu:

A. Masuk ke Sabah antara tahun 1970 hingga 1984

B. Berasal daripada Region 9, iaitu Kepulauan Selatan Republik Filipina.

C. Terlibat secara langsung di dalam konflik yang berlaku di tempat berkenaan.

D. Beragama Islam

E. Berhasrat untuk tinggal tetap di Sabah

F. Orang Teranjak (kriteria bagi orang teranjak adalah serupa dengan orang pelarian kecuali  bagi mereka yang tidak beragama Islam) Melalui definisi-definisi di atas dapat difahami bahawa golongan pelarian yang lari ke negara asing untuk mendapatkan perlindungan dan menyelamatkan nyawa bukanlah bersifat suka-suka semata-mata tetapi di sebabkan berlakunya suatu keadaan yang memaksa mereka lari menyelamatkan diri dan jika mereka masih berada di tempat asal, berkemungkinan nyawa mereka menghadapi ancaman.

Golongan yang menjadi pelarian tidak pernah berniat untuk menjadi pelarian tetapi disebabkan keadaan dan persekitaran yang memaksa mereka lari keluar untuk mencari kehidupan yang baru serta tempat untuk berlindung.

Hal ini tidak terkecuali bagi pelarian yang lari ke Malaysia. Seterusnya akan dibincangkan mengenai istilah dalam konsep pelarian seperti pencari suaka serta Internally Displaced Person (IDP).